Cari @ Amanz

Setiap laman media sosial, emel dan perkhidmatan atas talian kini memerlukan kata laluan sebelum boleh digunakan. Ini memastikan hanya pemilik boleh mengakses data peribadi. Tetapi mungkin ramai tidak tahu nama insan yang bertanggungjawab memperkenalkan kata laluan untuk komputer. Nama beliau ialah Fernando José Corbató dan beliau telah meninggal dunia dua hari yang lalu pada usia 93 tahun.

Ketika di MIT, Fernando José Corbató yang merupakan seorang saintis komputer terlibat dalam pembangunan sistem operasi Computer Time-Sharing System (CTSS) pada tahun 1961. CTSS membenarkan lebih dari satu individu untuk menggunakan satu komputer menerusi profil pengguna berbeza dengan data peribadi yang tidak boleh diakses pengguna lain. Untuk mengakses data peribadi, setiap pengguna perlu mempunyai kata laluan berbeza.

Selain penggunaan kata laluan, CTSS juga adalah sistem operasi pertama yang menyokong versi awal emel, penghantaran mesej dan perisian pemprosesan kata yang kini digunakan dengan meluas. Sebagai menghargai sumbangan beliau kepada dunia perkomputeran, Corbató dianugerahkan Turing Award pada tahun 1990.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd