Cari @ Amanz

Isu Huawei dengan Amerika Syarikat sudah hampir kembali pulih. Jadi, Huawei kini tiada halangan untuk menjual peranti-peranti mereka untuk pasaran global. Peranti yang sudah lama kita dengar, tetapi tidak kelihatan kewujudannya adalah Huawei P Smart Z. Ia merupakan peranti Huawei pertama dengan kamera swafoto pop-naik.

Dengan kamera pop-naik digunakan, peranti Huawei ini akan mempunyai rekaan skrin bebas takuk dan hampir nirbingkai. Tetapi disebabkan ia adalah kamera pop-naik pertama Huawei, adakah ia cukup baik? Peranti ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi dan ia akan menggunakan nama Huawei Y9 Prime 2019. Ini adalah pandang pertama kami.

Spesifikasi

Huawei Y9 Prime 2019 menggunakan skrin 6.59-inci FullView Display LCD dengan rekaan nirbingkai, tetapi dagu yang sedikit tebal. Resolusi adalah FHD+ dan ia dijana dengan cip pemprosesan Kirin 710F. Untuk memori, ia dipadankan dengan RAM 4GB dan storan dalaman dari 64GB atau 128GB. Kamera utama adalah tetapan tri-lensa 16+8+2 Megapixel dan kamera swafoto adalah jenis pop-naik dengan lensa 16 Megapixel. Untuk bateri ia mempunyai kapasiti 4000mAh tanpa sokongan pengecasan pantas.

Pengalaman Penggunaan

Fokus utama peranti ini sudah tentu dari segi rekaan dan kamera pop-naiknya. Tetapi yang terbaik akan saya kongsi pada hujung artikel. Saya akan ceritakan pengalaman penggunaan dari segi skrin dan prestasi terlebih dahulu. Kemudian baru beralih kepada kamera utama, kamera swafoto dan rekaan.

Skrin & Prestasi

Skrin peranti ini adalah LCD, jadi warna hitamnya tidak begitu gelap. Akan tetapi, warnanya kelihatan agak baik dan memuaskan. Cubaan ringkas yang dapat saya uji adalah video di HDR di YouTube. Butiran sudah boleh agak, ia sedikit klise untuk peranti yang menggunakan panel LCD. Warna memang kelihatan baik, tetapi ia sedikit pudar. Butirannya baik-baik sahaja dan pengalaman menonton video agak memuaskan, kerana ini adalah peranti Huawei pertama tanpa sebarang takuk.

Prestasi sebaik sahaja peranti selesai ditetapkan, terasa sedikit perlahan. Akan tetapi, selepas beberapa minit – ia terasa ‘OK’. Tatal kiri-ke-kanan tidak mempunyai masalah yang serius. Walau bagaimanapun, apabila aplikasi mula dilancarkan – ia mengambil sedikit masa untuk memuat. Peranti ini menjalankan EMUI 9, jadi prestasi dia adalah setara sahaja dengan peranti-peranti Huawei lain yang menjalankan EMUI 9 yang dikuasakan dengan Kirin 710.

Nama sahaja Kirin 710F, tetapi Huawei tidak berkongsi lebih lanjut mengenai cip pemproses ini. Perbandingan yang terdekat adalah Snapdragon 660.

Kamera

Kamera utama adalah gabungan tiga lensa, 16+8+2 Megapixel. 16 Megapixel adalah lensa biasa, 8 Megapixel adalah lensa ultra-lebar dan lensa 2 Megapixel pula adalah lensa kedalaman. Hasil gambar peranti ini bukanlah citarasa yang saya gemari. Tetapi untuk kategori peranti ini, ia boleh dikatakan bagus. Warna sedikit pudar dan tetapan asas sudah pun mengaktifkan kecerdasan buatan. Jadi banyak hasil imej adalah dari warna yang ditetapkan oleh pasca-proses. Lihat sahaja sampel-sampel yang saya ambil di bawah ini.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk kamera swafoto pop-naik, kameranya mengambil masa sedikit perlahan untuk naik. Tetapi, setelah banyak peranti dengan kamera pop-naik yang saya uji – masa yang lama sudah tidak terasa. Lensa kamera pop-naik ini adalah 16MP dan ia memberikan hasil imej yang kurang baik. Seperti kamera utama, tetapan asas adalah dengan kecerdasan buatan aktif. Jadi banyak warna semua menggunakan pasca-proses. Hasil imej agak pudar dan warna kulit menjadi terlampau putih dan cerah. Kemudian tetapi masa memproses imej itu tidak saya gemari. Di bawah adalah beberapa sampel imej.

Rekaan

Huawei Y9 Prime 2019, menggunakan warna dua tona yang agak unik. Huawei tidak menggunakan warna cerun yang klise digunakan oleh banyak peranti dari pengeluar China, tetapi lebih dekat dengan warna seakan Google Pixel. Panel belakang adalah dari satu bahan sahaja, cuma kemasan sahaja yang dijadikan dua tona. Warna sebegini amat menarik dilihat, dan kelihatan sedikit unik.

Kemudian, peranti ini terasa sedikit berat di tangan tetapi kekal selesa. Di bahagian hadapan, peranti ini menggunakan rekaan nirbingkai – tiada takuk, tiada skrin berlubang dan sungguh seksi. Cuma masih ada dagu yang agak tebal. Perlu diingatkan yang ini adalah peranti kelas pertengahan dan ‘berbaloi’ untuk dimiliki. Jadi sedikit pengorbanan apalah salahnya?

Harga Dan Bila Ia Dilancarkan?

Merujuk artikel awal tadi, peranti ini akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi. Harga jualan adalah dianggarkan bawah RM1000. Peranti ini mempunyai rekaan yang unik, kamera yang memuaskan dan prestasi yang ‘ok’. Jadi, tidak ada masalah untuk anda memiliki peranti seperti ini. Nantikan sahaja jualan rasminya di Malaysia tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd