Gamuda Land, salah satu pembangun hartanah, kini telah mengumumkan kerjasama strategik dengan pihak Maxis dalam usaha membangunkan kawasan perumahan yang tersedia dengan sokongan rangkaian 5G padanya.
Kawasan pertama dibawah kerjasama strategik ini adalah Gamuda Cove yang dijangka meliputi 20,000 unit perumahan apabila ia selesai dibangunkan kelak. Melalui kerjasama ini, Maxis akan melengkapkan kawasan perumahan berkenaan dengan sokongan 5G – dimana selain hanya sokongan rangkaian mudah-alih, ia juga akan menjadi titik kerjasama untuk pembangunan bandar pintar dan sebagainya.
Seperti ramai sedia maklum, teknologi 5G bukan sekadar rangkaian berkelajuan tinggi semata-mata. Dengan penawaran kadar lengah masa yang sangat rendah, ia juga membawa kepada penggunaan peranti berhubung (IOT) secara lebih menyeluruh, dan menjayakan pelaksanaan bandar pintar dengan lebih efisien.
Selain sokongan 5G, pihak Maxis juga akan menyediakan penawaran fiber di Gamuda Cove, sekaligus menawarkan akses internet berkelajuan tinggi – selari gaya hidup digital masa kini.