Cari @ Amanz

Dalam meraikan sambutan Hari Emoji Sedunia, Apple telah berkongsi sejumlah emoji yang akan hadir pada iOS 13. Emoji yang bakal ditawarkan ini adalah berasaskan Unicode 12, yang mana telah diperlihatkan secara awal pada Februari yang lalu.

Unicode 12 membawakan 59 buah emoji baru – dengan 75 variasi jantina – sekaligus memberi jumlah keseluruhan sebanyak 230 buah emoji baru apabila dikira melalui variasi jantina dan kulit ini. Antara emoji menarik yang bakal disertakan ialah Orangutan, bawang, falafel, mentega, dan kiub ais.

Dari segi emoji berbentuk wajah pula, ia bakal menyertakan sejumlah bentuk aktiviti, isyarat, dan pergerakan baru, seperti emoji mengantuk, berdiri, dan berpegangan tangan. Unicode 12 juga turut meraikan orang kelainan upaya, dengan menawarkan emoji alat pendengaran, kaki palsu, dan orang berkerusi roda.

Selain daripada itu, Unicode 12 juga akan menyertakan beberapa objek baru seperti yo-yo, layang-layang, alat muzik banjo, dan payung terjun. Emoji seperti pakaian keselematan, baju renang, dan sari juga turut akan disertakan bersama kemaskini iOS 13 ini. Untuk melihat emoji selanjutnya, anda boleh rujuk pada halaman rasmi Emojipedia.

Apple dijangka akan menyertakan kesemua emoji baru ini melalui kemaskini yang akan diberikan pada suku ke-empat tahun ini. Seperti tahun lalu, Apple menawarkannya pada iOS 12.1, jadi ia mungkin akan diberikan melalui kemaskini iOS 13.1.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd