Cari @ Amanz

Aksesori komputer hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz. Cooler Master, jenama yang terkenal untuk pelbagai aksesori dan komponen komputer, baru sahaja memperkenalkan aksesori desktop terbaru mereka yang dinamakan Cooler Master GS750 Desktop Hub.

GS750 ini merupakan gabungan dua aksesori komputer yang sering dilihat, iaitu tapak penggantung fon kepala dan juga pengecas nirwayar. Untuk GS750, ia hadir dengan pengecas nirwayar Qi yang boleh digunakan untuk mengecas peranti-peranti lain seperti peranti pintar, tetikus nirwayar dan juga fon telinga yang menyokong teknologi pengecasan nirwayar tersebut.

Penggantung fon kepala ini diperbuat daripada logam aluminum untuk rangka yang ringan tetapi teguh, manakala bahagian bawah tapaknya pula mempunyai lapisan getah untuk memastikan ia tidak menggelongsor diatas meja.

Menguasakannya ialah sebuah kabel kuasa dan juga sebuah palam USB 3.0 untuk menguasakan pengecas Qi. Di bahagian tapaknya lagi ialah dua palam USB 3.0 lagi yang boleh digunakan untuk mengecas peranti lain, dan juga 13 lampu RGB yang boleh diubahsuai mengikut keinginan pengguna.

Aksesori Cooler Master GS750 Desktop Hub ini akan mula dijual 27 Ogos kelak pada harga $80.00 (~RM320).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd