Cari @ Amanz

Kereta elektrik ialah masa hadapan dunia automotif kerana ia kurang mencemarkan udara berbanding kereta berenjin bahan api fosil. Malahan Volvo sudah menyasarkan hanya kenderaan elektrik akan dihasilkan selepas 2045. Lotus ialah nama besar dalam dunia perlumbaan kereta F1 walaupun kini sudah agak pudar. Syarikat yang diasaskan oleh Colin Chapman ini telah memperlihatkan kereta elektrik hiper mereka Lotus Evija.

Walaupun ia sebuah kereta elektrik, ia mempunyai kemampuan menandingi kereta hiper konvensional dengan kelajuan maksimum 320 km/j. Ia mengambil masa kurang 3 saat untuk mencecah 100 km/j dan 9 saat untuk mencecah 300 km/j. Empat motor elektrik digunakan, satu pada setiap tayar dengan output 2000 PS.

Tambah menarik menurut Lotus dengan pengecas 800 KW, bateri sebesar 70 kWh Evija boleh dicas sepenuhnya dalam masa hanya 9 minit. Dengan pengecasan konvensional 350 kW pula ia boleh dilakukan dalam masa 18 minit, Ini memberikan jarak perjalanan maksimum 402 kilometer dengan sekali caj.

Dari segi rekaan ia kelihatan cukup futuristik dengan lampu hadapan yang besar seperti yang boleh dilihat pada Evora. Rekaan lampu belakang amat agresif cukup berlainan dengan DNA Lotus yang sebelum ini menggunakan lampu berbentuk bulat. Bateri diletakkan ditengah-tengah mengambil alih ruang enjin yang biasa dilihat pada kereta buatan Lotus. Keseluruhan casi pula diperbuat daripada gentian karbon seperti yang ditemui pada Elise tetapi pada Evija ianya terhasil menggunakan satu komponen tanpa disambung menggunakan polimer.

Hanya 130 unit Lotus Evija akan dihasilkan bermula 2020. Bagi yang berminat ia boleh dimiliki pada harga £1.7 juta (~RM 8.,7 juta) sebuah. Dengan Elvija, Lotus akhirnya menghasilkan kenderaan elektriknya sendiri selepas Elon Musk mengubahsuai Lotus Elise menjadi Tesla Roadster pada tahun 2008.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd