Carian
Logo Pelangi Mungkin Akan Kembali Pada Produk Keluaran Apple Tahun Ini
July 17, 2019 Arib Ismail

Apple nampaknya ingin membawa kembali sebuah nostalgia lama mereka iaitu penggunaan logo dengan warna pelangi. Menurut sumber tertutup daripada MacRumors, Apple mungkin akan membawa logo ini pada sejumlah produk keluaran mereka pada tahun ini.

Logo pelangi Apple pernah menghiasi keseluruhan besar produk Apple yang dikeluarkan sebelum 1998. Antaranya Apple II, Macintosh 128K, dan Macintosh SE yang merupakan produk Apple berasaskan desktop. Namun pada 1998, Apple telah mengubah logo ini dengan rekaan Aqua, dan mengubahnya sekali lagi pada 2003 dalam bentuk monokrom – sehinggalah ia digunakan pada hari ini.

Sekiranya logo ini kembali, antara produk yang sesuai untuk digunakan ialah Mac kerana logo pelangi ini sering digunakan pada produk desktop Apple. Namun dengan melihat imej pengolokan yang dikeluarkan oleh MacRumors, perletakkan logo pada iPhone juga dilihat menarik – terutama pada model berwarna-warni seperti iPhone XR.

Namun begitu, MacRumors mengatakan perkara ini mungkin hanya sekadar ura-ura, jadi ia tidak disahkan sama ada ia akan hadir pada produk pengguna. Namun jika ia benar-benar direalisasikan, ia mungkin akan digunakan pada produk-produk edisi khas untuk meningkatkan penjualan sesebuah peranti.

Komen