Sejumlah peranti berkuasa pada hari ini telah menyertakan sensor Time-of-Flight (ToF) dengan membolehkan ia memberi hasil pengimejan 3D yang lebih tepat. Antara peranti yang sedia menawarkan sensor ini seperti Huawei P30 Pro, Samsung Galaxy S10 5G, dan Honor View20. Apple juga dilihat berminat dengan teknologi ToF ini dan dijangka akan menyertakannya pada iPhone 2020.
Digitimes melaporkan bahawa Apple telah bekerjasama dengan beberapa pembekal perkakasan untuk membangunkan sensor ToF ini untuk iPhone. Perkara ini bertepatan dengan laporan Ming-Chi Kuo pada November lalu, dengan mengatakan sensor ToF akan hadir pada iPad dan iPhone pada tahun 2020.
Fungsi ToF berasaskan VCSEL ini boleh dikatakan menyerupai seperti sensor TrueDepth di hadapan iPhone X, yang mana dapat membaca kedalaman subjek melalui imbasan 3D. Namun perbezaannya, sensor ToF mampu membaca data 3D pada jarak yang lebih jauh, berbanding Face ID yang mampu membaca wajah pada jarak yang lebih dekat.
Dengan meletakkan sensor ToF pada kamera utama, ia membolehkan peranti memisahkan subjek dan latar belakang dengan lebih baik, sekaligus memberi kualiti penggambaran portret yang lebih menarik. Ia juga dapat menambah baik kebolehan AR, yang mana dapat memberi bacaan yang lebih tepat berbanding bergantung kepada penggunaan sensor kamera biasa.
Apple untuk tahun 2019 dijangka akan menyertakan sistem tri-kamera, namun salah satunya tidak membawa keupayaan ToF. Jadi bagi pengguna yang menggemari penggambaran portret, anda mungkin boleh menunggu keluaran iPhone akan datang – selepas Apple menyertakan sensor ToF ini pada peranti mereka.