Kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 ialah sebuah kad grafik yang cukup sesuai untuk mereka yang hanya memerlukan sesuatu yang boleh digunakan untuk menggerakkan permainan komputer yang beresolusi rendah ataupun untuk mengedit dan mengenkod video lebih pantas daripada hanya menggunakan CPU sahaja.
ZOTAC, sebuah jenama pembina kad grafik yang cukup popular telah memperkenalkan kad grafik berprofil rendah melalui model GTX 1650 ini. Ia menggunakan papan litar yang lebih kecil berbanding dengan banyak model GTX 1650 yang lain, tetapi masih menggunakan bongkah penyejuk yang cukup tebal dan dua kipas penyejuk 40mm yang akan mengalih haba daripada bahagian GPU.
Apa yang menarik mengenai kad grafik ini ialah ia tidak memerlukan sebarang palam kuasa PCIe, dan akan mengambil semua bekalan kuasa yang diperlukan daripada port PCIe tersebut sendiri.
Dari segi spesifikasi, kad grafik ini mempunyai kelajuan Boost 1665MHz dan memori GDDR5 sebanyak 8GB. Kad grafik ini turut dilengkapi dengan palam HDMI, DisplayPort dan DVI-D. Tanda harga untuk kad grafik ini masih belum diumumkan buat masa ini.