Carian
Microsoft Menguji Teknologi Pengundian ElectionGuard – Menjanjikan Pengundian Yang Cepat, Mudah Dan Selamat
July 18, 2019 Nazrin

Sistem pengundian digital ialah sesuatu yang banyak diperkatakan sejak beberapa tahun yang lalu. Ia boleh dikatakan hampir mustahil untuk dijadikan realiti kerana pelbagai isu ketersambungan dan sekuriti yang menyebabkan teknologi tersebut sangat sukar untuk dilaksanakan.

Microsoft, melalui teknologi ElectionGuard mereka telah menunjukkan bahawa teknologi dan ciri keselamatan telah berkembang dengan pesat, dan menunjukkan bahawa teknologi pengundian digital telah berada di peringkat ujian.

Ujian tersebut memperlihatkan perisian ElectionGuard yang menggunakan tablet Microsoft Surface Pro untuk memberikan pengguna pilihan untuk mengundi tersebut. Microsoft juga dilihat menggunakan pengawal Adaptive Controller yang membolehkan orang kurang upaya untuk mengundi dengan mudah.

Selepas semua undi telah dimasukkan, ElectionGuard kemudiannya akan menyulitkan semua undi-undi tersebut dan memulakan proses pengiraan undi. Pengundi juga akan diberikan kod nombor yang boleh digunakan untuk memastikan undi mereka telah dimasukkan dengan betul dan dikira sebagai undi yang sah.

Sebagai sandaran, sebuah kertas mengundi fizikal juga akan diberikan kepada pengguna yang boleh digunakan sebagai kepastian bahawa mereka telah mengundi, jika diperlukan.

Apa yang menarik mengenai ElectionGuard ini ialah ia sebuah sistem yang telah dibina oleh pekerja Microsoft yang memfokuskan kepada perisian sistem terbuka, dan Microsoft dikatakan tidak akan menjual teknologi ini secara sendiri, tetapi sedang bekerjasama dengan pembina peranti pengundian seperti Clear Ballot dan Smartmatic.

Ia adalah agak menarik jika dunia dapat melihat sistem ElectionGuard ini digunakan pada pilihanraya umum Amerika Syarikat yang akan berlaku pada tahun hadapan, dan jika ia dapat memperbaiki isu-isu yang membelenggu hari-hari pengundian negara tersebut sebelum ini.

Komen