Carian
iOS 13 Beta 4 Menyertakan Paparan ‘Quick Actions’ Dan Tetapan 3D Touch Yang Diperbaharui
July 18, 2019 Arib Ismail

Apple pada hari ini telah mula mengedarkan kemaskini iOS 13 beta 4 bagi pengguna yang memasang profil pembangun. Menariknya pada kemaskini ini, Apple telah menyertakan penambah baikan dari segi paparan dan tetapan 3D & Haptic Touch.

Antara perubahan yang disertakan ialah kemaskini pada menu Quick Actions – iaitu sebuah fungsi yang boleh dikeluarkan ketika menekan lama pada sesebuah ikon aplikasi. Saiz menunya kini kelihatan lebih kecil, bagi memberi laluan kepada perletakkan fungsi ‘rearrange apps‘.

Sejak perkenalan 3D Touch, ramai pengguna terbuka paparan Quick Actions secara tidak sengaja, terutama ketika ingin mengakses fungsi penyusunan aplikasi. Jadi dengan perletakan fungsi ‘rearrange apps‘ pada menu ini, pengguna dapat mengaksesnya dengan lebih mudah dan jelas.

Apple juga telah menambah tetapan baru pada bahagian 3D & Haptic Touch, yang kini membolehkan pengguna mengubahsuai durasi sesuatu pengaktifan haptik kepada pantas atau perlahan. Ia dilihat berguna untuk kegunaan individu kelainan upaya, yang mana dapat membuka paparan berasaskan haptik pada kadar yang lebih perlahan.

Bagi pengguna iOS 13 Public Beta, kedua-dua fungsi ini dijangka akan hadir melalui iOS 13 Public Beta 3 pada sekitar minggu hadapan. Untuk pengguna yang lain, ia juga bakal disertakan pada versi akhir iOS 13 yang bakal ditawarkan pada pertengahan September tahun ini.

Komen