Cari @ Amanz

Secara purata stereng pada kereta boleh memutarkan roda sehingga 33 darjah. Ini adalah sudut maksimum yang boleh dilakukan untuk membelok kerana had fizikal aci sambungan dari enjin kenderaan. Tetapi pada kenderaan elektrik ini bukan lagi halangan kerana motor elektrik dalam hub tayar telahpun dibangunkan. Syarikat Protean Electric telah mengumumkan sistem Protean360+ yang membolehkan roda membelok bebas 360 darjah.

Dengan sistem ini kenderaan boleh melakukan parkir sisi dengan mudah kerana keempat-empat tayar boleh dibelok 90 darjah. Setiap Protean360+ juga dilengkapi sistem apungan dan brek terbina. Dengan sistem apungan yang digunakan, bas elektrik awam misalnya boleh “melutut” pada ketinggian yang sama dengan kaki lima. Ini memudahkan golongan berkerusi roda atau ibu dengan kereta sorong memasuki ruang bas.

Pada waktu yang sama kerana sistem sambungan roda yang menegak seperti tiang, bas elektrik boleh dilengkapi pintu pada kedua-dua sisi, depan dan belakang kerana tiada halangan pek bateri, enjin atau motor elektrik seperti kenderaan elektrik semasa. Setiap Protean360+ dilengkapi motor PD18 dengan 105 kuasa kuda yang menghasilkan 1250 Nm tork. Buat masa ini Protean Electric masih belum mengumumkan pada kenderaan apakah Protean360+ akan digunakan ataupun harga jualan setiap unit.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd