Carian
Sebuah Telefon Asas Daripada Nokia Tertiris – Dilihat Menjalankan Android Versi ‘Touchless’
July 19, 2019 Arib Ismail

Google dilaporkan sedang membangunkan sistem operasi Android versi ‘touchless‘ untuk kegunaan telefon asas. Ia dilihat ingin memberi saingan kepada KaiOS, yang kini menjadi sistem operasi mudah-alih ketiga yang popular di dunia. Pembangunan Android asas ini diperkuatkan lagi melalui sebuah gambar telefon Nokia yang tertiris ke arena web.

Telefon yang diperlihatkan ini boleh dikatakan mirip seperti Nokia 220, namun terdapat perbezaan dari segi bentuknya. Skrinnya kelihatan lebih kecil, selain mendatangkan keupayaan kamera pada bahagian hadapan. Tetapi dari segi susunan D-Pad dan nombor di bawahnya, ia kelihatan serupa – kecuali ia tidak mendatangkan sokongan FM radio melalui simbol pada butang (*).

Namun apa yang menjadi perhatian adalah antaramuka yang hadir pada peranti ujian ini. Antaramuka utamanya memperlihatkan ia menjalankan sistem operasi Android, yang mana dapat dinilai dari segi kehadiran Chrome, penggunaan warna Google, dan kehadiran font Roboto. Ia juga dilihat menyertakan kebolehan Google Assistant dengan akses pantas melalui antaramuka utama.

Dengan gambar yang tertiris ini, pembangunan Android versi ‘touchless‘ ini ternyata sedang aktif dibangunkan secara belakang tabir. Sekiranya ia berjaya menjadi produk akhir, kita mungkin dapat melihat lebih banyak telefon asas yang akan menjalankan Android. Bermakna, anda mungkin dapat menjalankan WhatsApp, Spotify, dan sejumlah aplikasi Android yang diolah pada peranti ini kelak.

Komen