Sehingga hari ini, Razer Phone generasi pertama sudah jarang menerima sebarang kemaskini, sekaligus mengekalkannya kepada kemaskini sekuriti untuk Julai 2018. Namun berita baik bagi pemilik Razer Phone, kemaskini Android terbaru dijangka akan diedarkan bermula minggu hadapan.
Razer telah memaklumkan melalui halaman Reddit bahawa mereka akan mengemaskini peranti ini ke Android 9.0 Pie. Kemaskini ini bakal diedarkan kepada pengguna secara berperingkat, yang mana bakal dimulakan pada seawal minggu hadapan.
Ia bakal menyertakan sejumlah fungsi baru, seperti kawalan gesture baru, talam notifikasi yang diperbaharui, sokongan Digital Wellbeing, dan fungsi Adaptive Battery.
Razer pada sebelum ini telah memaklumkan bahawa mereka tidak lagi aktif dalam membangunkan telefon pintar. Ia menyebabkan telefon mereka mengalami penurunan harga yang mendadak, selain tidak dapat menikmati kemaskini Android secara kerap.
Dengan pengumuman kemaskini ini, ia menunjukkan Razer masih komited untuk menjaga hati pengguna mereka – walaupun mereka tidak lagi fokus kepada bahagian mudah-alih. Razer Phone pada saat ini tidak lagi dijual secara rasmi, namun set terpakainya boleh didapati pada harga di bawah RM1500.