Cari @ Amanz

Terdapat banyak laporan sebelum ini yang memberikan bayangan Hongmeng OS ialah sistem operasi yang bakal menggantikan Android selepas Huawei dihalang dari berurusan dengan syarikat dari AS. Malahan CEO Huawei sendiri mengatakan Hongmeng OS adalah lebih pantas berbanding Android, iOS dan Mac. Hari ini timbalan presiden Huawei Catherine Chen mengesahkan ia bukanlah sistem operasi untuk telefon pintar.

Ia sebaliknya adalah sistem operasi untuk peranti berhubung dengan sela masa yang rendah. Ini diumumkan oleh beliau ketika sesi meja bulat bersama pihak media di Brussels semalam. Tambah beliau lagi ia sebenarnya menyasarkan penggunaan di arena perindustrian dan mempunyai barisan kod yang lebih pendek bagi memastikan ia berfungsi dengan pantas. Malahan televisyen pintar berjenama Honor akan jadi yang pertama menggunakan sistem operasi ini.

Huawei telah dibenarkan untuk kembali berurusniaga dengan syarikat dari A.S beberapa minggu yang lalu. Lesen untuk berurusniaga dengan syarikat seperti Google, Intel dan Qualcomm dijangka diberikan seawal bulan hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd