Hampir sedekad yang lalu sistem navigasi GPS kegemaran kami ialah Sygic. Ianya unik kerana menggunakan grafik 3D untuk menunjukkan arah yang perlu diikuti untuk pergi ke destinasi. Mereka kini telah memperlihatkan konsep Real View, sebuah sistem navigasi yang menggunakan teknologi realiti gabungan.
Ketika memandu, skrin telefon pintar yang menggunakan Real View akan menunjukkan arah perjalanan yang dipaparkan di atas imej dunia sebenar dari kamera belakang peranti. Dengan sistem Real View pemandu tidak perlu meneka lorong dan simpang jalan mana yang perlu diambil. Peta 2D yang digunakan aplikasi GPS seperti Waze sekarang boleh mengakibatkan kekeliruan apabila wujud lebih dari dua simpang keluar.
Buat masa ini Real View masih lagi sedang dibangunkan dengan perancangan mengintegrasikannya pada sistem hiburan kenderaan yang menyokong Apple Car Play dan Smart Device Link (SDL). Mereka juga akan menggunakan kecerdasan buatan yang membolehkan Real View melaporkan kemalangan jalan raya yang dilihat tanpa pemandu melakukannya secara manual.