AMD baru sahaja melancarkan siri kad grafik AMD Radeon RX 5700 mereka, dimana pihak ASUS kemudiannya memperlihatkan siri kad grafik tersebut dengan rekaan penyejuk mereka sendiri, yang akan hadir pada bulan September kelak.
Terkini, ASRock, sebuah lagi jenama komponen komputer yang terkenal telah menunjukkan siri kad grafik AMD Radeon RX 5700 mereka sendiri, yang diberi nama ASRock Radeon RX 5700 Challenger. Sama seperti sebelum ini, siri kad grafik ini terdiri daripada kad-kad grafik AMD Radeon RX 5700 dan RX 5700XT.
Kedua-dua kad grafik ini akan hadir dengan kelajuan GPU yang lebih pantas daripada kad rekaan asas:
- ASRock Radeon RX 5700 XT Challenger: 1650MHz/1795MHz/1905MHz
- ASRock Radeon RX 5700 Challenger: 1515MHz/1675MHz/1725MHz
Spesifikasi lain semuanya sama seperti sebelum ini, seperti penggunaan memori GDDR6 sebanyak 8GB dan penggunaan palam PCIe 8-pin dan 6-pin.
Dari segi rekaan kad grafik, ia hadir dengan bongkah penyejuk aluminum dan empat paip penyejuk tembaga yang mengalirkan haba daripada bahagian GPU dan komponen-komponen lain, manakala dua kipas 10mm mengalirkan haba daripada bongkah dan paip-paip tersebut.
ASRock masih belum mengumumkan lagi tanda harga untuk kad grafik ini dan tarikh pelancarannya, tetapi sama seperti ASUS, kita mungkin akan dapat melihat kad grafik ini di pasaran menjelang bulan September kelak.