Carian
Katalog Produk Komputer NeXT Dari Tahun 1989 Kini Boleh Diakses Secara Digital
July 19, 2019 Arib Ismail

NeXT merupakan syarikat yang diasaskan oleh Steve Jobs selepas beliau keluar daripada Apple pada tahun 1985. Beliau mengambil keputusan tersebut kerana tidak sehaluan dengan barisan lembaga pengarah yang berada di Apple ketika itu dan hanya kembali ke Apple semula pada tahun 1997. Ketika di NeXT, Steve Jobs bersama pasukan beliau telah berjaya menghasilkan sejumlah produk yang menarik bersama sebuah sistem operasi baru.

Untuk melihat produk dan sistem operasi yang dihasilkan oleh NeXT, sebuah katalog daripada tahun 1989 telah pun dikongsikan oleh Kevin Savetz pada laman Archive.org. Katalog ini mengandungi sebanyak 138 muka surat, yang mana mengandungi sejumlah perisian dan perkakasan yang direka untuk komputer NeXT.

Katalog ini membolehkan anda melihat rupa perisian yang dihasilkan untuk NeXT, selain melihat antaramuka sistem operasinya iaitu NeXTSTEP. Apa yang menarik, antaramuka NeXTSTEP ini mempunyai sejumlah persamaan dengan macOS yang ada masa ini, terutama dari segi ‘Dock‘, paparan tetapan, dan ikon berputar pada kursor. Perkara ini berlaku kerana Apple telah mengolah NeXTSTEP untuk dijadikan sebagai macOS.

Namun syarikat komputer NeXT ini tidak bertahan lama kerana sukar untuk mendapatkan pengguna. Pada 20 Disember 1996, Apple telah mengambil-alih NeXT dengan bayaran tunai sebanyak $429 juta. Pada tahun 1997, Steve Jobs kembali dan memegang tampuk kepimpinan Apple – sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2011 akibat penyakit barah pankreas.

Katalog produk komputer NeXT 1989 ini boleh diakses secara percuma oleh orang ramai melalui halaman Archive.org. Anda boleh menikmati beberapa kepingan gambar produk NeXT ini dalam imej beresolusi tinggi dan menilai kecanggihannya untuk digunakan ketika itu.

Komen