Langkawi kini menjadi yang pertama di Malaysia untuk menamatkan siaran televisyen secara anlog sepenuhnya, sekaligus beralih kepada penggunaan siaran TV secara digital. Ini selari dengan perancangan pihak kerajaan untuk menutup siaran analog dalam masa beberapa bulan lagi.
Dengan penamatan ini, pengguna boleh menikmati siaran televisyen percuma secara digital melalui perkhidmatan myFreeView yang meliputi 98% kawasan berpenduduk buat masa ini. Melaluinya, sebanyak 15 saluran TV ditawarkan secara percuma, termasuk RTM, Media Prima, TV Alhijrah, dan Bernama News Channel.
Bagi pengguna yang ingin menggunakannya, boleh menikmati siaran televisyen ini melalui penggunaan dekoder khusus dengan sokongan DVB-T2, atau dengan menggunakan televisyen yang sedia menyertakan dekoder terbina melaluinya untuk menikmati siaran televisyen secara digital.
Peralihan dari analog ke digital ini adalah amat penting, kerana ia akan membolehkan spektrum gelombang sedia ada digunakan untuk perkhidmatan telekomunikasi seperti 5G.