Xiaomi sehingga hari ini tidak asing lagi dengan menjual telefon pintar mereka pada harga yang agak murah. Telefon pintar yang mengubah persepsi orang ramai terhadap peranti Xiaomi adalah, Pocophone F1. Ini kerana peranti ini mempunyai spesifikasi mercu tetapi dijual pada harga sebuah peranti kelas pertengahan.
Xiaomi meneruskan legasi ini dengan peranti Redmi K20 atau untuk pasaran global Xiaomi Mi 9T. Peranti ini berada dalam kategori peranti kelas pertengahan, tetapi mempunyai banyak ciri seakan sebuah peranti mercu. Ini adalah ulasan kami.
Skrin
Xiaomi Mi 9T mempunyai saiz skrin bersaiz 6.39-inci, panel AMOLED dan menggunakan rekaan skrin nirbingkai penuh tanpa takuk. Berani saya katakan yang panel AMOLED Mi 9T adalah lebih baik daripada Xiaomi Mi 8. Apabila skrin ditutup, ia tidak kelihatan seperti warna kelabu yang berlaku pada Mi 8, tetapi warna hitamnya mempunyai warna yang cukup gelap.
Apabila skrin dihidupkan, pandangan pertama sahaja sudah positif dan memperlihatkan banyak perkara baik. Pertama adalah kecerahan yang mencukupi dan warna yang cukup tajam, lagi penuh dengan butiran. Kebanyakan peranti kelas pertengahan Xiaomi kebiasaannya tidak mempunyai kecerahan yang agak baik, tetapi Mi 9T mempunyai kecerahan yang memuaskan. Untuk warna pula, kandungan HDR di YouTube memperlihatkan warna yang sangat tajam. Kemudian, butirannya adalah sangat baik dan mempunyai kualiti yang menakjubkan.
Saya gunakan peranti ini untuk banyak menonton drama bersiri di Netflix, dan saya gunakan peranti ini lebih banyak kali berbanding OnePlus 7 Pro. Kenapa? Pertama, skrin peranti bukan jenis melengkung dan apabila dizoom untuk memenuhkan skrin, kandungan video tidak terpotong dengan banyak. Kemudian, skrin peranti ini turut memberikan pengalaman menonton yang sangat mengasyikkan.
Skor skrin adalah 9/10.
Prestasi
Disebabkan Mi 9T bukan peranti mercu, ia dijana dengan Snapdragon 730 sahaja. Bukan 730G yang memfokuskan permua, tetapi Snapdragon 730 yang asas sahaja. Saiz cip ini adalah 8nm dan cip ini mempunyai prestasi menghampiri Snapdragon 835 kerana binaannya. Prestasi sebenar adalah di sekitar Snapdragon 820, tetapi dengan pengoptimasian perisian dan gandingan spesifikasi lain – ia memberikan prestasi yang hebat. Peranti ini turut dipadankan dengan memori 6GB RAM dengan pilihan memori 64GB atau 128GB.
Sebelum bermain permua, saya menguji terlebih dahulu prestasi penggunaan harian. Contohnya membuka banyak aplikasi, buka/tutup aplikasi, masa aplikasi memuat, lengah masa, kehadiran micro lag dan banyak lagi. Sebaik sahaja peranti ini selesai ditetapkan ia mempunyai prestasi yang sangat pantas. Tidak seperti peranti dalam kelas yang sama, kebiasaannya ia akan mengalami masalah micro lag. Peranti ini tidak. Multi-tugasan dengan banyak aplikasi berjalan dengan lancar, masa aplikasi dimuatkan adalah memuaskan dan secara keseluruhan adalah agak baik. Cuma kadangkala, menukar antara aplikasi-ke-aplikasi terasa sedikit perlahan, itu sahaja.
Seterusnya adalah ujian bermain permua. PUBG Mobile adalah permua yang wajib diuji. Dukacita dimaklumkan yang permua ini tidak menyokong tetapan resolusi yang paling tinggi dan hanya terhad kepada HD sahaja. Walaupun resolusi adalah terhad, ia mempunyai prestasi yang sangat memuaskan. Sepanjang bermain permua, saya tidak dapat rasakan sebarang masalah dan pengalaman bermain adalah seakan menggunakan peranti mercu. Sudah tentu, setiap permua yang dimainkan adalah dengan pengoptimasian mod gaming MIUI.
Permua kegemaran kedua yang saya main adalah Asphalt 9. Permua ini apabila dimainkan mempunyai pengalaman bermain yang hampir sama dengan OnePlus 7 Pro. Bermain permua dengan Mi 9T adalah sungguh memuaskan dan mengasyikkan. Akan tetapi, walaupun prestasinya lancar apabila dibandingkan dengan Pocophone F1, Poco adalah lebih pantas.
Untuk sekuriti, peranti ini mempunyai kedua-dua pengimbas cap jari dan juga pengecaman wajah untuk menyahkunci peranti. Seperti biasa peranti Android yang ‘murah’ menggunakan kamera swafoto, jadi pada Mi 9T ia agak perlahan – tetapi pantas. Tiada masalah untuk mengecam wajah, tetapi menunggu untuk kamera dinaikkan adalah perkara yang mengecewakan. Pengimbas cap jari pula adalah jenis bawah skrin, ia agak pantas – tetapi kerap gagal. Pada saya setakat ini untuk tahun 2019, OnePlus mempunyai pengimbas cap jari yang paling pantas dan Samsung Galaxy S10 adalah yang paling tepat.
Skor prestasi juga adalah 9/10.
Kamera
Selain daripada prestasi, kamera juga adalah aspek penting dalam memiliki sebuah peranti. Kebanyakan pengguna inginkan kamera yang hebat, tetapi tidak ingin membelanjakan wang yang banyak. Jadi peranti seperti Mi 9T adalah pilihan, cuma adakah ia pilihan yang bijak? Kamera utama Mi 9T adalah tri-lensa yang menggabungkan lensa utama 48MP + lensa telefoto 8MP dan lensa ultra-lebar 13MP.
Tetapan kamera adalah mengikut trend sekarang, saya amat bersyukur dengan itu. Hasil gambar yang diambil adalah memuaskan. Warna HDR boleh dikatakan sedikit pudar, tetapi tidak terlampau pudar dan warna yang terdapat adalah cukup tajam. Kemudian, butiran dalam setiap gambar amat baik. Hasil lensa ultra-lebar dan zoom adalah sedikit mengecewakan. Warna sudah baik, tetapi butirannya kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, hasil potret adalah agak baik. Tetapi ia hanya akan baik apabila fokus adalah tepat. Jika tidak, hasil kabur tidak sekata.
Untuk kamera swafoto pula, hasil rakaman adalah memuaskan. Lebih-lebih lagi gambar potret. Kemudian mod biasa, ia mempunyai warna yang memuaskan. Mod malam pula adalah agak baik, cuma tidak mempunyai harapan yang tinggi. Secara keseluruhan, kamera Mi 9T adalah berkali ganda lebih baik berbanding kamera Pocophone F1.
Untuk rakaman video, saya tidak begitu gemar. Peranti kelas pertengahan Xiaomi memang kerap mempunyai hasil video yang kurang memuaskan. Ia tidak mempunyai OIS, hasilnya kurang memuaskan. Kemudian IG Story semestinya masih belum dibaiki dan mempunyai hasil rakaman seakan 3GP.
Skor kamera secara keseluruhan adalah 8/10.
Pembesar Suara & Bateri
Tidak banyak yang ingin saya ceritakan buat pembesar suara. Rekaan peranti ini sudah baik dan posisi pembesar suara dan earpiece sudah boleh diterima. Cuma, ia masih mempunyai pembesar suara mono. Hasil audio adalah baik, cuma tidak begitu memuaskan. Aras suara adalah cukup kuat cuma pengalaman pendengaran menggunakan pembesar suara Mi 9T tidak mengasyikkan.
Untuk bateri pula, Mi 9T mempunyai kapasiti bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Bateri peranti ini adalah memuaskan dan membuatkan hati saya cukup gembira. SOT maksima yang saya dapat adalah melebihi 8 Jam. Itu adalah penggunaan harian media sosial dan menstrim Netflix secara atas talian dan juga luar talian. Apabila kerap bermain permua pula, SOT yang saya capai adalah sekitar 6-7 Jam ke atas.
Pengecasan pantas 18W bukanlah yang paling pantas. Tetapi apabila menggunakan pengecas pantas USB-PD, ia terasa cukup pantas. Ia mengingatkan saya kepada pengecasan pantas Google Pixel 3.
Skor pembesar suara adalah 7/10, manakala skor bateri adalah 10/10.
Rekaan
Xiaomi Mi 9T mempunyai rekaan yang setara dengan sebuah peranti mercu. Binaan kaca dan dilindungi Gorilla Glass 5, rekaan seksi, selesa di tangan, saiz yang cukup baik dan juga member impresi seakan menggunakan peranti mewah.
Di bahagian hadapan skrin tidak mempunyai takuk, tiada ‘dahi jendul’, rekaan hampir nirbingkai penuh dan juga mempunyai dagu yang agak nipis. Rekaan seperti ini adalah rekaan moden yang ramai idamkan. Di bahagian belakang terletaknya tri-kamera di bahagian tengah, panel binaan kaca, warna yang unik dan yang paling penting nampak premium. Binaan seperti ini agak baik, tidak begitu licin.
Di bahagian atas, terdapat kamera swafoto pop-naik dengan kemasan LED yang menarik. Apabila kamera dinaikkan, lampu akan menyala mengikut warna peranti. Di bahagian atas kamera itu pula, turut terdapat LED yang bertindak sebagai indikasi untuk pengecasan sahaja. Di bahagian bawah terdapat port USB-C dan kekisi pembesar suara. Di sisi terdapat butang kuasa berwarna, bersama-sama dengan butang aras suara.
Mi 9T berani saya katakan mempunyai rekaan yang lebih baik berbanding Mi 9. Peranti pertengahan dengan rekaan lebih premium dengan peranti mercu? Apakah ini? Jika dibandingkan dengan Pocophone pula, Poco ketinggalan sangat jauh dengan bahan binaan plastik yang kelihatan sangat murah.
Skor untuk rekaan adalah 10/10.
Harga
Xiaomi Mi 9T dijual pada harga rasmi RM1199 untuk variasi 6/64 GB dan RM1399 untuk variasi 6/128 GB. Peranti ini dijual dengan tanda harga yang sangat murah, kerana di China Redmi K20 dijual pada harga melebih RM1210. Spesifikasi yang kompetitif, rekaan premium, prestasi hebat dan kamera memuaskan – harga peranti seperti ini adalah sangat mampu milik.
Skor harga adalah 10/10.
Konklusi
Tidak dinafikan yang Pocophone F1 mempunyai prestasi yang jauh lebih baik. Tetapi anda perlu ingat, pengorbanan Pocophone F1 adalah pada bahan binaan dan juga kamera. Sementara, Mi 9T memfokuskan kedua-dua prestasi baik dan bahan binaan premium. Kedua-dua peranti ini mempunyai fokus tersendiri. Bagaimana untuk anda pilih? Jika anda ingin bermain permua sahaja dan tidak hairan dengan bahan binaan, kamera atau skrin – Pocophone F1 adalah pilihan.
Tetapi jika anda inginkan peranti yang mempunyai prestasi cukup baik, bahan binaan nampak mewah, kamera hebat dan skrin yang bagus – Mi 9T adalah pilihan yang baik.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|