Cari @ Amanz

Apabila pergi ke kawasan merokok, adalah kebiasaan melihat puntung rokok dibuang di dalam pasu bunga atau tempat tanaman pokok. Tabiat perokok ini telah berlaku sejak berdekad lamanya. Tetapi kajian mengenai impak puntung rokok terhadap tumbuh-tumbuhan baru sahaja diterbitkan.

Menurut kajian dari Anglia Ruskin University, puntung rokok mengakibatkan percambahan benih pokok klover merosot sehingga 10%. Panjang pokok yang tumbuh pula didapati mengalami rencatan sehingga 13%. Pada waktu yang sama jumlah akar berkurangan sehingga 57%. Di dalam ujian yang dilakukan puntung rokok biasa dan mentol telah digunakan.

Adalah dipercayai ini diakibatkan oleh bahan kimia pemplastikan yang digunakan pada serat asetat selulosa yang digunakan pada puntung rokok telah meresap ke dalam tanah apabila dibuang. Kajian ini membuktikan putung rokok yang tidak dibuang dengan betul memberikan impak yang negatif terhadap alam sekitar. Ia perlu dibuang dengan betul sebelum dikitar semula. Hasil kajian telah diterbitkan dalam jurnal Ecotoxicology and Environmental Safety.

Setakat ini puntung rokok telah berjaya dikitar semula menjadi agregat dalam pembinaan jalan raya. Dalam kajian oleh UTHM, putung rokok juga boleh digunakan sebagai salah satu bahan tambahan untuk menghasilkan batu bata. Serat mikro yang terkandung dalam puntung rokok mempunyai ciri-ciri penebat haba yang baik, selain turut mengukuhkan daya ikatan tanah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd