Carian
Asus ROG Phone 2 Kini Rasmi – Skrin 120Hz, Dijana Cip Snapdragon 855+ Dan Bateri 6000 mAh
July 22, 2019 Effi Saharudin

Tahun lalu Asus ROG Phone menjadi antara peranti untuk permua terbaik di pasaran. Ia hadir sistem audio stereo, lampu LED serta pelbagai aksesori menarik bagi penggemar permainan video mudah alih. Hari ini Asus ROG Phone 2 akhirnya dilancarkan dengan pelbagai penambahbaikan bagi menjadikannya peranti untuk permua pilihan pengguna.

Ia kini dilengkapi skrin 6.59” AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Pengguna diberikan pilihan menukarnya ke 60 dan 90 Hz bagi mengurangkan penggunaan bateri. Skrin ini walau bagaimanapun hanya menyokong resolusi FHD+ dengan sokongan HDR10 serta paparan warna DCI-P3. Sebuah pengimbas cap jari bawah skrin turut disertakan dari jenis optikal.

Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 855+ yang direka khusus untuk permua. Jika dibandingkan dengan Snapdragon 855, Snapdragon 855+ mempunyai CPU dan GPU yang berfungsi pada kelajuan lebih tinggi. Memori kini meningkat ke 12GB RAM dan storan yang ditawarkan pula hanya 512GB.

Kamera utama menggabungkan sensor 48+13 Megapixel pada bahagian belakang dan 24-Megapixel pada bahagian hadapan. Lensa sudut ultra-lebar sahaja disokong pada sistem dwi-kamera dan bukannya zum optikal.

Kekuatan utama ROG Phone 2 pastinya terletak pada bateri sebesar 6000 mAh. Ini adalah bateri terbesar pada sebuah peranti mercu tahun ini dan adalah 2000 mAh lebih besar berbanding ROG Phone asal. Ini menurut Asus membolehkan ROG Phone 2 memainkan PUBG selama tujuh jam berterusan dengan skrin pada tetapan 60Hz. Bateri boleh dicas semula menggunakan sistem ROG HyperCharge 30W.

Beberapa aksesori baharu turut dilancarkan serentak. Antaranya ialah sistem penyejuk AeroActive Cooler 2 kali ini lebih senyap tetapi lebih berkemampuan mengurangkan suhu peranti. ROG Kunai Gamepad pula mengubah peranti menjadi seakan sebuah Nintendo Switch. TwinView Dock II pula menyertakan sebuah lagi skrin sesentuh 120Hz dan bateri tambahan sebesar 5000 mAh. Buat masa ini harga jualan masih belum diumumkan.

Komen