Cari @ Amanz

Apabila komputer anda menerima sahaja akses kepada internet, ia sebenarnya telah membuka laluan untuk menerima sebarang ancaman. Perkara ini menyebabkan sejumlah pengguna paranoid dengan webcam komputer mereka, daripada mengintip dalam keadaan yang tidak sedar. Namun perkara ini sebenarnya adalah normal, yang mana hampir 6 daripada 10 pengguna telah menutup bahagian webcam ini.

Pada saat ini, webcam telah berada pada hampir 99% komputer riba pengguna, dalam membolehkan pengguna membuat panggilan video padanya. Untuk melihat sama ada pengguna benar-benar paranoid atas kemudahan ini, HP telah menjalankan kajian pada hampir 3000 responden pada sekitar A.S., Kanada, dan Mexico.

Hasil kajian ini memperlihatkan seramai 6 daripada 10 pengguna telah menampal webcam ini dengan pelekat atau pita kecil. Apa yang menarik, hampir 79% responden mahukan webcam mereka boleh ditutup melalui suis secara fizikal. Fungsi ini walaupun telah banyak ditawarkan pada komputer riba perusahaan, ia masih tidak begitu ditawarkan pada kebanyakan komputer pengguna.

Kajian ini juga menyaksikan golongan wanita lebih risau akan penyalahgunaan webcam ini berbanding golongan lelaki. Seramai 65% responden wanita tidak selesa berada di hadapan webcam yang terbuka, berbanding lelaki yang hanya memperlihatkan angka ketidakselesaan sebanyak 46%. Selain daripada jantina, Generasi Z juga menjadi generasi yang paling risau dengan isu keselamatan daripada webcam ini.

Hasil dapatan daripada kajian ini, sejumlah besar pengguna sebenarnya sangat risau mengenai sebarang ancaman yang berlaku melalui webcam. Perkara ini menyebabkan pengeluar cuba mengatasinya dengan menghadirkan fungsi suis webcam fizikal, seperti yang terdapat pada model HP Spectre, HP Envy, dan Lenovo ThinkPad yang terkini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd