Honor pada sebelum telah memperacahkan beberapa maklumat mengenai Honor 9X, yang mana bakal hadir pada rekaan skrin penuh. Pada sebuah acara di China, Honor akhirnya telah memperkenalkan siri peranti ini secara rasmi, melalui pengenalan Honor 9X dan Honor 9X Pro.
Honor 9X dan Honor 9X dilihat hadir dengan skrin 6.59-inci FHD+, cip Kirin 810 dengan prestasi seumpama Snapdragon 730, dan bateri berkapasiti 4000 mAh. Ia juga dilihat hadir dengan pengimbas cap jari pada bahagian sisi, kamera pop-naik 16MP, dan janaan antaramuka EMUI 9.1 berasaskan Android 9.0 Pie.
Namun apa yang membezakan kedua-dua peranti ini adalah dari segi penawaran konfigurasi, keupayaan kamera utama, dan pilihan warna.
Honor 9X dilihat hadir dengan tiga pilihan konfigurasi, iaitu 4GB RAM / 64GB, 6GB RAM / 64GB, dan 6GB RAM / 128GB. Dari segi kamera, ia hanya menyertakan keupayaan dwi-kamera sahaja melalui sensor 48MP f/1.8 + 2MP (depth). Untuk pilihan warna pula, ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna berbeza iaitu merah, biru, dan hitam.
Sementara untuk Honor 9X Pro, ia menyertakan konfigurasi yang lebih berkuasa iaitu 8GB RAM / 128GB dan 8GB RAM / 256GB. Ia juga menyertakan kebolehan tri-kamera, melalui perletakkan sensor 48MP f/1.8 + 8MP (ultralebar) + 2MP (depth). Dari segi warna pula, ia hanya hadir dalam dua pilihan warna sahaja iaitu ungu dan hitam.
Dari segi penawaran lain, kedua-dua model Honor 9X hadir dengan AIS Super Night View 2.0 dan GPU Turbo 3.0 untuk pengalaman permainan yang lebih lancar. Pada Honor 9X Pro, ia juga hadir dengan sistem penyejukan berasaskan cecair secara terbina. Bagi Honor 9X Pro dengan variasi 256GB, ia akan dijana dengan storan yang lebih pantas berasaskan UFS 2.1.
Honor 9X telah ditawarkan pada harga ~RM837 (4GB RAM / 64GB), ~RM957 (6GB RAM / 64GB), dan ~RM1,137 (6GB RAM / 128GB). Sementara model Honor 9X Pro pula, ia dijual pada harga ~RM1,316 (8GB RAM / 128GB) dan ~RM1,435 (8GB RAM / 256GB).
Buat masa ini, Honor tidak mengumumkan sebarang maklumat mengenai tarikh dan harga jualan bagi kedua-dua peranti ini untuk pasaran Malaysia.