iPhone 11 Dilaporkan Mengekalkan Port Lightning, Taptic Engine Baharu Dan Swavideo Gerak Perlahan

iPhone 11 Dilaporkan Mengekalkan Port Lightning, Taptic Engine Baharu Dan Swavideo Gerak Perlahan

Diterbitkan pada July 24, 2019 oleh .

Tinggal sekitar tujuh minggu sahaja lagi sebelum iPhone 11 dilancarkan secara rasmi. Semakin banyak maklumat mengenai tiga peranti yang akan dilancarkan tertiris ke arena web pagi ini. Menurut 9to5Mac yang mendapat maklumat dari sumber dalaman, ketiga-tiga model tahun ini akan mengekalkan penggunaan port pengecasan Lightning. Sebelum ini ikon pengecasan USB-C telah tertiris menerusi ujian iOS 13 Beta.

Mereka turut melaporkan Taptic Engine baharu akan diperkenalkan dengan kod nama leap haptics. Sistem maklum balas haptik baharu ini dibangunkan kerana iPhone 11 tidak akan lagi menyokong sistem 3D Touch yang diperkenalkan sejak iPhone 6S. Sebuah lagi fungsi baharu ialah kemampuan merakam vide gerak perlahan 120FPS menggunakan kamera hadapan. Sebelum ini rakaman video gerak perlahan hanya boleh dilakukan menggunakan kamera belakang.

Akhir sekali ialah pengenalan ciri Smart Frame ketika mengambil gambar. Apabila gambar diambil menggunakan kamera lensa lebar, kamera lensa sudut ultra lebar akan turut mengambil satu gambar. Dengan dua gambar, pengguna kemudian boleh menyunting gambar dan memasukkan elemen yang terkeluar dari bingkai pada gambar lensa sudut lebar. Imej gambar sudut ultra lebar akan digunakan bagi menghasilkan gambar yang lebih baik.


TIPS & ULASAN