Galaxy Watch Active 2 Mungkin Akan Menyertakan Bingkai Berputar Berasaskan Sesentuh, Bluetooth 5.0

Galaxy Watch Active 2 Mungkin Akan Menyertakan Bingkai Berputar Berasaskan Sesentuh, Bluetooth 5.0

Diterbitkan pada July 24, 2019 oleh .

Samsung pada tahun ini dilaporkan akan hadir dengan Samsung Galaxy Watch Active 2 selepas beberapa kepingan imejnya telah tertiris ke arena web. Ia dilihat masih membawa rekaan yang membulat, tanpa sebarang perubahan yang besar untuk binaannya. Namun beberapa maklumat lanjut mengenai fungsi dan spesifikasi jam tangan pintar ini telah didedahkan, bagi membolehkan pengguna menjangkakan perkara yang akan hadir pada peranti ini.

Menurut halaman SAMMOBILE, jam tangan pintar ini akan ditawarkan dalam dua pilihan saiz iaitu 44mm dan 40mm. Ia berbeza dengan Galaxy Watch Active generasi pertama, yang mana hanya hadir dalam saiz 40mm. Saiz 40mm boleh dikatakan lebih selesa untuk digunakan untuk golongan wanita, namun masih kecil apabila ia dipakai oleh golongan lelaki. Pada sebelum ini, Galaxy Watch Active (40mm) telah dijual secara rasmi pada harga RM799.

Samsung Galaxy Watch Active 2 turut dilaporkan akan hadir dengan bingkai berputar berasaskan sesentuh, iaitu fungsi yang tidak didatangkan pada generasi pertama. Fungsi ini akan berfungsi seumpama bingkai berputar fizikal pada Samsung Galaxy Watch, namun kini hadir berasaskan sokongan sesentuh.

Untuk spesifikasinya, ia dilaporkan akan hadir dengan skrin 1.2-inci (40mm) dan 1.4-inci (44mm) 360×360 Super AMOLED, kaca Gorilla Glass DX+, dan piawaian ketahanan MIL-STD-810G untuk binaan yang lebih tahan lasak. Ia juga bakal hadir dengan storan 4GB, pengesan jatuh, dan sokongan Bluetooth 5.0.

Samsung tidak mengesahkan produk ini akan dilancarkan, namun ia dilaporkan akan hadir bersama-sama pelancaran Galaxy Note10. Sekiranya perkara ini benar, kita mungkin dapat melihat pengumuman rasmi mengenai jam tangan pintar ini pada 7 Ogos ini.


TIPS & ULASAN