Cari @ Amanz

Befrienders ialah sebuah badan NGO yang menerima panggilan dari orang ramai, terutamanya mereka yang mengalami isu-isu psikologi seperti seperti kemurungan, depresi, keinginan membunuh diri dan sebagainya, dan membantu mereka yang mengalami isu-isu ini sebaik yang mungkin.

Hari ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengumumkan bahawa mereka telah bekerjasama dengan lapan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menawarkan panggilan percuma ke Befrienders bermula 1 Ogos kelak.

Syarikat-syarikat telekomunikasi ini termasuklah Celcom Axiata, Digi Telecommunications, Maxis Berhad, Telekom Malaysia, TIME dotcom, U Mobile, Webe Digital dan YTL Communications.

 

Pengumuman ini selari dengan seruan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi yang menyeru bahawa semua rakyat Malaysia beralih ke era digital secara sama-rata, tanpa mengira pangkat ataupun harta.

Pengumuman ini sangat baik kerana menurut tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan tahun lepas, setiap seorang daripada lima dewasa di Malaysia mengalami isu kemurungan, dua daripada lima dewasa di Malaysia mengalami isu kebimbangan, manakala 11.2 peratus berniat untuk membunuh diri, dan 10.2 peratus pernah cuba untuk membunuh diri.

Diharap dengan panggilan percuma ke Befrienders ini, mereka yang mengalami masalah kemurungan boleh memanggil pihak tersebut pada bila-bila masa sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd