Kerajaan Selangor Menyasarkan Keinginan Untuk Menjadi Negeri Pintar Terulung Di Asia Tenggara Menjelang 2025

Kerajaan Selangor Menyasarkan Keinginan Untuk Menjadi Negeri Pintar Terulung Di Asia Tenggara Menjelang 2025

Diterbitkan pada July 24, 2019 oleh .

Konsep bandar pintar bukanlah sesuatu yang baru. Teknologi seperti peranti berhubung (IoT) digunakan untuk memudahkan hidup orang ramai, dan juga meningkatkan kualiti hidup rakyat secara pukal.

Di forum Selangor Regional Powerhouse, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata bahawa kerajaan negeri tersebut menyasarkan cita-cita untuk menjadi Negeri Pintar nombor satu di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

Menurut beliau, dibawah inisiatif yang dinamakan Smart Selangor, kerajaan negeri ingin memastikan bahawa semua rakyat Selangor menerima akses ke perkhidmatan internet dan kelebihan teknologi yang sama tanpa mengira lokasi ataupun kedudukan sosial.

Insiatif Smart Selangor ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia diperkenalkan pada tahun 2015 dengan matlamat untuk menjadi salah satu daripada 20 bandar pintar terkemuka di dunia, dan telah memperkenalkan beberapa projek dibawah inisiatif ini, diantaranya terdiri daripada Smart Waste Management, Smart Digital Infrastructure, Smart Governance dan Smart Education.

Kearah menjadi negeri pintar terulung di Asia Tenggara menjelang 2025, menteri besar tersebut berkata bahawa kerajaan negeri akan memfokuskan usaha mereka kepada beberapa industri, termasuklah aero-angkasa, automotif, pertanian, maritim dan pendidikan untuk meningkatkan lagi nilai ekonomi negeri.

Setakat ini, ia telah dilaporkan bahawa lebih daripada RM30 bilion dalam pelaburan telah dibawa masuk kedalam negeri Selangor melalui industri aero-angkasa dan juga sains kehidupan sejak inisiatif Smart Selangor dimulakan.

Konsep “negeri pintar” adalah sesuatu yang boleh kami katakan agak menarik dan mengujakan, akan tetapi, dengan masalah bekalan air yang sedang membelenggu negeri ini sekarang, mungkin fokus dan sumber tenaga dan kewangan boleh disalurkan sedikit kepada usaha untuk memastikan rakyat mendapatkan bekalan air tanpa gangguan.


TIPS & ULASAN