Pandang Pertama: vivo S1 – Sebuah Peranti Bajet Yang Nampak Mewah

Pandang Pertama: vivo S1 – Sebuah Peranti Bajet Yang Nampak Mewah

Diterbitkan pada July 24, 2019 oleh .

vivo S1 sudah pun dilancarkan di Malaysia hari ini. Ia adalah peranti vivo pertama dan terbaru dalam siri S. Peranti ini berada dalam kategori peranti kelas-pertengahan premium mampu milik. Tetapi apakah fokus utama peranti? Adakah ia bagus? Bagaimana prestasi dan berbaloi atau tidak untuk dimiliki?

Kami dapat mencuba peranti ini dan terdapat beberapa perkara yang menggembirakan hati saya. Untuk mengetahui lebih lanjut, artikel ini adalah artikel pandang pertama kami.

Spesifikasi

Vivo S1 menggunakan skrin 6.38-inci Super AMOLED dengan rekaan takuk kecil. Di bawah skrin ini terletaknya pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal dan di belakang terletaknya sistem tri-kamera yang menggabungkan lensa 16MP + 8MP + 5MP. Manakala kamera swafoto pula adalah lensa 32MP.

Peranti dikuasakan dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P65 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Untuk audio, ia masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan mempunyai pembesar suara mono. Sedikit mengecewakan, peranti ini masih menggunakan port pengecasan microUSB – tetapi tidak mengapa kerana saiz bateri adalah 4500mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W.

Pengalaman Penggunaan

Skrin Super AMOLED tidak dinafikan adalah panel skrin yang baik. Tetapi sistem operasi adalah penting untuk pengoptimasian sesebuah skrin dan atas percubaan awal, skrin peranti ini boleh dikatakan agak baik. Warna dalam video HDR agak tajam, cuma warnanya tidak cukup cantik dan terang. Disebabkan di dalam gelap, kecerahan peranti ini tidak terlampau terang dan tidak menyilaukan mata – saya dapat jangkakan yang di bawah cahaya matahari terik kecerahan adalah biasa-biasa sahaja.

Peranti ini menjalankan FuntouchOS 9 berasaskan Android Pie. Antaramuka baharu FuntouchOS 9 boleh dikatakan mempunyai banyak perubahan dan lebih kemas, tetapi penulisan teks masih tidak selari. Lain-lain adalah lebih kurang sama, bagi yang kerap menggunakan peranti Vivo akan mudah menggunakan peranti ini tanpa sebarang masalah. Prestasi Helio P65 pada peranti ini adalah baik-baik sahaja. Tidak begitu pantas dan semestinya tidak mengecewakan, micro lag sedikit terasa dan penukaran antara aplikasi-ke-aplikasi adalah cukup lancar. Kelajuan WiFi adalah sedikit perlahan jika dibandingkan dengan peranti lain yang disambungkan pada WiFi yang sama. Skor Antutu adalah seperti berikut;

Jelas di sini, prestasi peranti ini bukanlah yang terhebat – tetapi untuk penggunaan harian untuk kegunaan ringan dan bermain permua yang tidak terlalu berat, ia akan berfungsi dengan baik.

Pembesar suara mono pada peranti ini boleh dikatakan agak kuat. Cuma pada aras suara yang maksima bunyinya sedikit bingit dan menyakitkan telinga. Boleh dikatakan pengalaman pendengaran adalah tidak mengasyikkan.

Kamera

Kamera utama Vivo S1 menggabungkan lensa 16MP sebagai lensa utama, lensa 8MP sebagai lensa ultra lebar dan lensa 5MP untuk kedalaman. Adakah kualitinya baik? Pada pendapat saya, ia baik sahaja. Tetapi ia tidak menepati cita rasa saya dan warna yang dihasilkan adalah kurang menarik. Untuk hasil potret, lensa kedalaman dilihat seperti tidak berfungsi kerana hasil kabur adalah tidak cukup baik. Mod malam pada peranti ini juga tidak sehebat peranti lain dalam kelas yang sama.

Untuk swafoto, peranti ini dilihat mempunyai butiran yang kurang baik. Tetapi mod potret mempunyai banyak penambahbaikan daripada peranti Vivo lain. Walau bagaimanapun, Vivo tetap Vivo dengan pasca-proses hasil gambar yang diambil menjadikan wajah sedikit lebih lembut. Walau bagaimanapun, mod-mod potret seperti Studio Lighting dan lain-lain tidak memberi hasil yang menggembirakan. Tetapi ini adalah pandangan awal saya sahaja, ia mungkin berbeza dengan pandangan pengguna lain.

Rekaan

Seperti peranti Vivo V15 Pro, peranti ini turut mempunyai butang fizikal khas untuk menyeru pembantu maya dan di sisi kiri ini turut terdapat slot untuk kad SIM. Untuk set rasmi dan versi global, ia akan menyeru Google Assistant. Di sisi kanan pula terdapat butang kuasa dan butang aras suara.

Di Bahagian bawah adalah terletaknya kekisi audio, port bicu audio 3.5mm dan juga port microUSB. Di bahagian atas adalah licin dan tiada apa-apa dan di belakang pula dalah lokasi tri-kamera dan juga penjenamaan Vivo di bahagian bawah. Warna unit yang saya pegang ini adalah Skyline Blue, yang mana merupakan warna cerun biru cair dan ungu. Warna ini agak cantik dan menawan dipadankan pula dengan kemasan berkilat. Panel belakang ini adalah plastik, tetapi binaan keseluruhan peranti ini masih kelihatan premium.


Peranti sudah pun rasmi hari ini di Malaysia. Ia dijual pada harga hanya RM1099 untuk 6/128GB. Warna yang boleh dipilih adalah Skyline Blue dan juga Diamond Black. Ia dijual secara atas talian seperti Presto, Lazada atau juga Shopee. Salah satu laman membeli belah ini turut menawarkan diskaun menarik, tetapi jika anda membuat pra-tempahan di kedai fizikal – diskaun RM100 dan sebuah pembesar suara akan diberikan.


TIPS & ULASAN