Cari @ Amanz

Huawei pada acara MWC 2019 telah mengumumkan Huawei Mate X dengan penawaran peranti boleh dilipat. Namun selepas isu binaan pada Samsung Galaxy Fold, Huawei telah menangguhkan jualan Mate X bagi membolehkan mereka menambah baik lagi peranti ini. Menurut laporan terbaru, beberapa perkara pada Mate X telah diubah, bagi membolehkan rekaannya berfungsi dengan lebih baik.

Beberapa info utama mengenai Huawei Mate X yang ditambah baik ini telah tertiris sepenuhnya melalui halaman TENAA. Ia dilaporkan hadir dengan paparan yang boleh dilipat berasaskan OLED, melalui saiz 8-inci dengan resolusi 2480 x 2200. Apabila ia dilipat menjadi mod telefon, ia menyajikan paparan utama 6.6-inci (2480 x 1148) 19.5:9, sementara paparan kedua hadir dengan saiz 6.38-inci (2480 x 892) 25:9.

Huawei Mate X

Di dalamnya, ia dijana dengan cip Kirin 980, pilihan memori 6GB/8GB/12GB RAM, dan pilihan storan dalaman sehingga 512GB. Ia juga dilihat mempunyai NFC, dwi-frekuensi GPS, Bluetooth 5.0, dan menyokong rangkaian 5G melalui modem Balong 5000.

Untuk keupayaan kamera, ia bakal membawa kamera utama 40MP f/1.8, kamera telefoto 8MP f/2.4, kamera ultralebar 16MP f/2.2, dan kamera ToF untuk pengecaman 3D. Disebabkan ia boleh dilipat, kamera utama ini turut akan menggalas fungsi untuk kegunaan kamera hadapan.

Namun dari segi bateri, kapasitinya telah dikurangkan menjadi 4400 mAh – berbanding 4500 mAh ketika ia diumumkan pada acara MWC 2019. Ia tidak diketahui mengapa pengurangan ini dilakukan, namun ia mungkin memberi laluan kepada mekanisme rekaan yang lebih baik. Seperti pengumuman sebelum ini, Huawei Mate X akan turut menyokong pengecasan SuperCharge berasaskan 55W.

Huawei pada saat ini masih tidak mengumumkan tarikh jualan untuk Mate X, namun ia dijangka akan dijual pada harga bermula ~RM8,979. Ia mungkin akan ditawarkan di China terlebih dahulu, sebelum ia diperluaskan ke beberapa pasaran utama yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd