Carian
Evolusi Peranti – Samsung Galaxy Note
August 2, 2019 Effi Saharudin

Kita semakin hampir kepada tarikh pelancaran rasmi Samsung Galaxy Note 10. Buat pertama kali dalam sejarah Note, dua model akan dilancarkan serentak. Kali terakhir dua model Note dilancarkan dalam masa setahun ialah pada tahun 2015 dengan Note Edge dan Note 5. Seperti biasa apabila sebuah peranti mercu baharu dilancarkan, kami gemar menerbitkan artikel evolusi peranti dari tahun ke tahun. Berikut ialah senarai 10 model Galaxy Note yang telah dilancarkan sejak pengenalannya pada tahun 2011.

Samsung Galaxy Note

Samsung Galaxy Note
Skrin 5.3″ SAMOLED (800×1280 pixel)
Pemproses 1.4 GHz Dua Teras Exynos 4230
RAM 1 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB)
Kamera Utama 8 MP,f/2.6,  (1080P)
Kamera Depan 2 MP
Bateri 2500 mAh
SIM/Telefoni Mini SIM/3G

Mungkin ramai yang mengatakan Samsung Galaxy Note adalah peranti Android pertama dengan skrin gergasi dan memulakan revolusi phablet. Ini adalah kurang tepat kerana Dell Streak muncul terlebih dahulu pada Mei 2010. Dell Streak mempunyai skrin sebesar 5″ dan menggunakan sistem operasi Android Donut. Streak boleh diberikan anugerah bapa peranti Android berskrin besar.

Samsung mula berjinak dengan peranti berskin besar dengan Samsung Galaxy Player 5 yang dilancarkan pada hujung 2010. Tetapi Galaxy Note yang dilancarkan setahun kemudian adalah peranti “phablet” pertama yang menerima sambutan menggalakkan dari pengguna. Dengan skrin 5.3″ peranti ini pada awalnya ditertawakan kerana “terlalu besar”. Sytlus terbina berteknologi Wacom pula dikatakan “ketinggalan zaman”. Tetapi pelbagai fungsi unik yang diperkenalkan membezakan Note dari peranti pintar yang wujud pada ketika itu.

Sejak dari awal pengguna dari Asia menunjukkan minta yang lebih tinggi kepada peranti dengan skrin besar. Pengguna di Amerika Utara dan Barat masih selesa dengan peranti dengan skrin di bawah 4″. Pengguna di Asia berpegang kepada moto “lebih besar lebih bagus”. Ketika dilancarkan Galaxy Note menggunakan Android Gingerbread dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Jelly Bean. Peranti ini memasuki pasaran Malaysia pada tahun November 2011 dan dijual pada harga RM2299. Lebih dari 10 Juta peranti ini terjual dan sambutan yang amat menggalakkan ini menjadi titik tolak penghasilan peranti dengan skrin lebih besar.

Samsung Galaxy Note adalah antara peranti paling awal yang berjaya kami ulas di Amanz.My. Anda boleh membaca ulasan Samsung Galaxy Note kami disini.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Mempunyai stylus teknologi Wacom untuk lakaran lebih tepat
    • Premium Suite – Pelbagai aplikasi yang direka khas untuk berfungsi dengan S Pen.
    • Peranti yang mempopularkan penggunaan skrin besar


Samsung Galaxy Note 2

Samsung Galaxy Note 2
Skrin 5.5″ SAMOLED 720P
Pemproses 1.6 GHz Exynos 3
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB)
Kamera Utama 8 MP, f/2.6, (1080P)
Kamera Depan 2 MP
Bateri 3100 mAh
SIM/Telefoni Mikro SIM/3G

Samsung Galaxy Note 2 muncul pada Ogos 2012. Kali ini skrin peranti dibesarkan lagi kepada 5.5″ dengan resolusi 720P. Kali ini skrin mempunyai nisbah skrin 16:9 dan bukan lagi 4:3 seperti pada Note asal.

Dengan skrin yang lebih besar Samsung memperkenalkan sebuah lagi fungsi baru iaitu Multi Window. Fungsi ini membolehkan dua aplikasi berkongsi satu skrin. Ini mempercepatkan proses melakukan tugasan. Selain daripada itu fungsi Air View turut diperkenalkan. Pengguna dalam melihat kandungan folder dengan meletakkan stylus di atas ikon tanpa menyentuh skrin. Peranti juga secara automatik mengesan S Pen telah dikeluarkan dari tempat simpanan dan segera melancarkan Pop Up Note untuk digunakan.Dari segi spesifikasi perubahan paling ketara ialah pemproses kini berubah kepada empat teras dan RAM juga bertambah sekali ganda kepada 2 Gigabyte.

Ketika dilancarkan ia menggunakan Android Jelly Bean dan sokongan rasmi berakhir dengan Android Kit Kat. Samsung Galaxy Note 2 dilancarkan di Malaysia pada 19 Oktober 2012 dan dijual pda harga RM 2299.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Skrin 5.5″ mempunyai nisbah 16:9 dan bukan lagi 4:3.
    • Pengenalan fungsi Multi Window dan Air View.
    • Sistem automatik mengesan S Pen dikeluarkan dan Pop Up Note dilancarkan secara automatik.


Samsung Galaxy Note 3

Samsung Galaxy Note 3
Skrin 5.7″ SAMOLED FHD
Pemproses 2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB)
Kamera Utama 13 MP, f/2.2,  (4K)
Kamera Depan 2 MP f/2.4
Bateri 3200 mAh
SIM/Telefoni Mikro SIM/3G

Evolusi diteruskan dengan Samsung Galaxy Note 3. Sekali lagi skrin dibesarkan kepada 5.7″ dengan resolusi HD penuh. Kamera utama sebesar 13 Megapixel mampu merakam video pada resolusi 4K dan menjadikannya antara peranti mudah alih yang merintis fungsi ini. Dari segi rekaan pula peranti kini lebih bersegi dan mempunyai kemasan seakan kulit pada panel belakang lengkap dengan jahitan palsu. RAM dipertingkatkan kepada 3 Gigabyte bagi melancarkan lagi operasi. Perkara paling unik mengenai Note 3 ialah penggunaan port USB 3.0 buat kali pertama dan terakhir. Port USB 3.0 digunakan bagi memudahkan pemindahan fail bersaiz besar seperti video 4K dengan lebih pantas.

Fungsi baru yang diperkenalkan ialah Air Command, Action Memo, Scrapbook dan Easy Clip. Multi Window kini semakin berguna dengan kemampuan melakukan aksi drag&drop di antara 2 aplikasi yang dipaparkan pada skrin. Stylus pula kini boleh digunakan untuk menekan butang navigasi kapasitif pada dagu peranti. Pemancar infra merah turut disertakan bagi menggunakan peranti sebagai alat kawalan jauh. Akhir sekali ialah fungsi All Screen Use yang membolehkan paparan skrin dikecilkan kepada 4″ bagi memudahkan operasi sebelah tangan.

Note 3 dilancarkan menggunakan Android Jelly Bean dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Lollipop. Ia mula dijual di pasaran Malaysia pada 20 September 2013 pada harga 2399.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Air Command, Action Memo, Scrapbook Dan Easy Clip.
    • Stylus boleh digunakan untuk menekan butang navigasi kapasitif di bawah skrin.
    • Multi Window menyokong fungsi drag & drop antara aplikasi.
    • Sokongan rakaman video 4K
    • All Screen Use – paparan skrin boleh dikecilkan untuk penggunaan sebelah tangan.
    • Pemancar infra merah.
    • Port USB 3.0 digunakan


Samsung Galaxy Note 4

Samsung Galaxy Note 4
Skrin 5.7″ SAMOLED QHD
Pemproses Exynos Octacore 5433 (1.9 +1.3 GHz)
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 MP f/2.2, OIS (4K)
Kamera Depan 3.7 MP f/1.9
Bateri 3220 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Mikro SIM/4G LTE

Dari segi perubahan rekaan, Samsung Galaxy Note 4 tidak mengalami perubahan yang drastik seperti Note 2 ke Note 3. Rekaan kulit palsu pada panel belakang dikekalkan dan skrin masih lagi sebesar 5.7″. Bezanya kali ini skrin SAMOLED yang digunakan menyokong resolusi QHD.

Pemproses kini mempunyai lapan teras tetapi RAM masih lagi 3 Gigabyte. Fungsi baru yang diperkenalkan ialah Pop Up Window yang membolehkan tetingkap kecil aplikasi terapung di atas skrin. Apabila dikecilkan lagi ia akan berubah menjadi ikon bulat. Lebih daripada satu tetingkap ini boleh dibuka serentak sekaligus menambahkan pilihan untuk melakukan pelbagai kerja serentak. Kamera juga akhirnya mempunyai sokongan OIS bagi memberikan rakaman video yang lebih stabil. Bateri kini boleh dicas lebih pantas dengan fungsi Adaptive Charging Samsung. Akhir sekali terdapat pengimbas nadi pada bahagian belakang peranti dan pengimbas cap jari pada butang home.

Ia dilancarkan dengan Android Kit Kat dan sokongan rasmi adalah sehingga Android Lollipop. Note 4 adalah peranti yang disahkan akan menerima kemas kini Android M sebelum hujung 2015 ini. Ia mula dijual di Malaysia pada 15 Oktober 2014 dan dijual pada harga RM2499.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Pemproses lapan teras
    • Skrin Quad HD
    • Pop Up Window baharu. Lebih daripada satu tetingkap kecil yang boleh “terapung” pada skrin serentak.
    • Pengimbas nadi dan jari terbina.
    • Kamera mempunyai sokongan OIS.
    • Fungsi Wide Selfie pada kamera hadapan.
    • Pengecasan pantas.


Samsung Galaxy Note Edge

Samsung Galaxy Note Edge
Skrin 5.6″ SAMOLED QHD
Pemproses 2.7 GHz 4 Teras Snapdragon 805
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 MP f/2.2, OIS (4K)
Kamera Depan 3.7 MP f/1.9
Bateri 3000 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Mikro SIM/4G LTE

Samsung Galaxy Note Edge dilancarkan serentak dengan Note 4. Sungguhpun begitu ia mempunyai beberapa perbezaan dari segi spesifikasi dan rekabentuk. Note Edge adalah peranti pertama di dunia yang mempunyai skrin sisi. Skrin ini merealisasikan beberapa paten yang difailkan oleh Samsung beberapa tahun sebelum Note Edge dilancarkan. Skrin sisi ini digunakan untuk memaparkan pintasan aplikasi, individu penting, aplikasi yang berjalan dan juga alat ukuran (pembaris dan jam randik). Apabila dilancarkan ia menerima pelbagai reaksi menarik kerana rekabentuknya yang lain dari yang lain. Sungguhpun begitu terdapat juga reaksi negatif kerana ia tidak mesra pengguna kidal.

Kesemua fungsi yang wujud pada Note 4 hadir pada Note Edge. Aneh sekali fungsi skrin sisi yang diperkenalkan pada Note Edge ini kemudiannya tidak digunakan pada Galaxy S6 Edge yang hadir pada April 2015.

Ia dilancarkan dengan Android Kit Kat dan menerima kemas kini rasmi sehingga Android 6.0.1 Marshmellow sebelum hujung 2015 ini. Ia mula dijual di Malaysia pada 9 Februari 2015 dan dijual pada harga RM2999.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Peranti dengan skrin sisi pertama dunia.
    • Fungsi Edge Screen, Quick Tools & Express Me pada skrin sisi.
    • Butang kamera maya pada skrin sisi.


Samsung Galaxy Note 5

Samsung Galaxy Note 5
Skrin 5.7″ SAMOLED QHD
Pemproses Exynos 7420 Octacore (2.1 + 1.5 GHz)
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte
Kamera Utama 16 MP OIS f/1.9
Kamera Depan 5 MP f/1.9
Bateri 3000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Nano SIM/4G LTE

Dengan pelancarannya secara rasmi 13 Ogos yang lalu Galaxy Note 5 memasuki era baru. Tiada lagi sokongan bateri yang boleh ditanggalkan dan juga slot untuk kad MikroSD. Ini adalah fungsi yang sudah wujud sejak Note generasi pertama. Note 5 mengambil ciri-ciri rekaan Galaxy S6 dengan panel kaca depan dan belakang. Spesifikasinya juga sama dengan sebuah S6 dengan penambahan memori kepada sebesar 4 Gigabyte.

Pembaharuan yang dilakukan ialah S-Pen kini mempunyai mekanisme spring yang mengunci peranti di dalam tempat simpanannya. Apabila diperlukan tekan hujung S-Pen dan ia akan mudah ditarik keluar. Namun begitu pada awalnya terdapat masalah di mana S-Pen akan tersekat jika secara tidak sengaja dimasukkan secara terbalik. Samsung segera mengubah rekaan mekanisme tempat simpanan stylus bagi mengelakkan kejadian ini dari berulang.

Tidak banyak fungsi baru diperkenalkan kali ini. Pembaharuan dilakukan pada rekaan Air Command. Tetapi fungsi baru yang diperkenalkan adalah yang paling diinginkan pengguna selama ini iaitu kemampuan melakar nota pantas pada skrin tanpa skrin perlu diaktifkan. Samsung Galaxy Note 5 juga adalah peranti pertama di dunia yang menyokong pengecasan pantas tanpa wayar. Peranti boleh dicas sepenuhnya dalam masa 90 minit.

Ia dilancarkan dengan menggunakan Android 5.1 dan akan menerima kemas kini Android M dalam masa terdekat. Ia memasuki pasaran Malaysia pada 3 September 2015 akan datang dengan harga jualan RM 2699.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Rekaan sepenuhnya logam dan kaca.
    • Sokongan Samsung Pay.
    • Tiada lagi sokongan kad MikroSD.
    • Bateri tidak boleh ditanggalkan.
    • Tiada lagi pemancar infra merah.
    • Teknologi pengecasan bateri pantas tanpa wayar.
    • S Pen dengan sistem lonjakan spring.
    • RAM sebesar 4 Gigabyte.


Samsung Galaxy Note 7/Note FE

Samsung Galaxy Note 7/FE
Skrin 5.7″ SAMOLED QHD HDR10
Pemproses Exynos 8890 Octacore (2.3 + 1.6 GHz)
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (Mikro SD 256GB)
Kamera Utama 12 MP OIS f/1.7
Kamera Depan 5 MP f/1.7
Bateri 3500/3200 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Nano SIM/4G LTE

Malang bagi Samsung, Galaxy Note 7 mungkin adalah peranti yang paling terkenal di dalam sejarah siri Note kerana masalah bateri yang meletup secara rambang. Akibat dari masalah ini jualan Note 7 dibatalkan pada September 2016, beberapa minggu selepas mula dijual dan kesemua peranti perlu dipulangkan kepada Samsung. Ia juga menjadi satu-satunya peranti setakat ini yang diharamkan dari dibawa masuk ke dalam kapal terbang.

Selepas masalah bateri berjaya diselesaikan, Note 7 dilancarkan semula sebagai Note FE pada Julai 2017 dan hadir ke Malaysia pada Oktober 2017. Kapasiti bateri dikecilkan ke 3200 mAh berbanding kapasiti asal 3500 mAh pada Note 7. Skandal Note 7 ini amat merugikan kerana Note 7/ Note FE adalah antara peranti Note yang paling menarik rekaannya. Dahi serta dagu peranti adalah kecil jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Sisi yang melengkung membuatkannya kelihatan hampir tiada bezel sisi. Ia juga yang pertama dalam keluarga Note mempunyai kemampuan kalis air IP68.

S-Pen dipertingkatkan dengan kemampuan mengesan 4096 tahap tekanan berbanding 2048 pada Note 5. Dengan stylus yang lebih jitu, peranti mampu menghasilkan GIF beranimasi secara terus buat pertama kali. Ia akhirnya menyokong sistem imbasan anak mata dan port pengecasn USB-C. Sehingga kini ramai peminat peranti Note merasakan Note FE/Note 7 adalah antara yang mempunyai rekaan

Kedua-dua peranti dilancarkan dengan menggunakan Android 7.1 Nougat dan menerima kemas kini Android 9 Pie pada bulan Mac 2019. Ia memasuki pasaran Malaysia pada 25 Oktober 2017 dengan harga RM 2599.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Rekaan dagu, dahi dan sisi yang kecil hampir tanpa bezel.
    • Tiada lagi sokongan kad MikroSD dan bateri yang boleh ditanggalkan
    • Kemampuan kalis air IP68.
    • Port USB-C.
    • S Pen dengan 4096 tahap tekanan.
    • Kemampuan menghasilkan GIF beranimasi secara terbina.
    • Sistem imbasan anak mata.


Samsung Galaxy Note 8

Samsung Galaxy Note 8
Skrin 6.3 ” SAMOLED QHD+ HDR10
Pemproses Exynos 8895 Octacore (2.3 + 1.7 GHz)
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (Mikro SD 512GB)
Kamera Utama 12+12 MP f/1.7+f/2.4, OIS, 4K
Kamera Depan 8 MP f/1.7
Bateri 3500/3200 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Nano SIM/4G LTE

Dengan rekaan skrin Infinity Display, akhirnya peranti Note hadir dengan skrin sebesar 6.3″ yang jauh lebih besar berbanding 5.7″ sebelum ini. Selain skrin yang jauh lebih besar, peranti juga kini mempunyai rekaan dagu dan dahi yang jauh lebih kecil sehingga tiada lagi penggunaan butang navigasi fizikal pada bahagian hadapan. Samsung akhirnya akur dengan peredaran zaman dan menggunakan sistem navigasi atas skrin sepenuhnya. Bagi menyokong sistem navigasi baharu ini, pelancar Samsung Experience 8.5 telah digunakan.

Note 8 juga memegang gelaran sebagai peranti mercu pertama Samsung yang dilengkapi sistem dwi-kamera utama yang memadankan lensa sudut lebar dengan lensa telefoto zum optikal 2X. Seperti pada Galaxy S8 yang dilancarkan enam bulan terdahulu, pengimbas cap jari diletakkan bersebelahan kamera pada bahagian belakang. Ia menerima kritikan kerana agak sukar untuk diakses dan kerap kali jari mengotorkan lensa.

Sebuah lagi inovasi yang diperkenalkan ialah sokongan sistem desktop DeX menggunakan sebuah dermaga khas. Peranti boleh berfungsi seakan sebuah komputer apabila di dalam dermaga DeX Station atau DeX Pad. Akhir sekali Note 8 dilengkapi butang khas untuk menyeru pembantu maya Bixby pada sisi kiri.

Galaxy Note 8 dilancarkan dengan menggunakan Android 7.1.1 Nougat dan menerima kemas kini Android 9 Pie pada bulan Februari 2019. Ia memasuki pasaran Malaysia pada 21 September 2017 dengan harga RM 3999 sebuah.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Skrin 6.3″ paling besar digunakan setakat ini.
    • Skrin QHD+
    • Dwi-kamera dengan zum optikal 2X.
    • Sistem navigasi atas skrin sepenuhnya, Tiada lagi butang navigasi kapasitif.
    • Sokongan DeX menggunakan dermaga.
    • Butang Bixby pada sisi kiri peranti.


Samsung Galaxy Note 9

Samsung Galaxy Note 9
Skrin 6.4 ” SAMOLED QHD+ HDR10
Pemproses Exynos 9810 Octacore (2.7 + 1.8 GHz)
RAM 6/8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128/512 Gigabyte (Mikro SD 512GB)
Kamera Utama 12+12 MP (f/1.5+f/2.4)+f/2.4, OIS, 4K
Kamera Depan 8 MP f/1.7
Bateri 4000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Nano SIM/4G LTE

Samsung mengecilkan lagi dahi dan dagu Note 9 bagi memuatkan skrin sebesar 6.4″. Rekaan tubuh, bingkai dan belalang Note 8 dikitar semula sehingga membuatkan proses meneka peranti sukar dari bahagian hadapan

Setelah menerima pelbagai maklum balas pengguna, pengimbas cap jari pada Note 9 diubah ke bahagian bawah kamera yang membuatkannya lebih mudah diakses. Sistem dwi-kamera dengan zum optikal dikekalkan tetapi kini hadir dengan sistem bukaan boleh laras f/1.5+f/2.4 bagi membolehkan rakaman mod malam yang lebih terang tanpa hingar.

S-Pen akhirnya mempunyai sokongan bluetooth yang membolehkannya menjadi alat kawalan jauh aplikasi kamera dan mengawal jeda pemain aplikasi muzik seperti Spotify.

Storan sehingga 512GB akhirnya ditawarkan lengkap dengan sokongan kad mikro SD sehingga 512GB. Ini menjadikannya peranti terawal dengan kemampuan storan gabungan 1TB di pasaran Malaysia. Bateri 4000 mAh yang disertakan juga adalah yang terbesar pernah digunakan dalam sejarah Note. Bagi yang gemar menggunakan DeX, sokongan mod ini tanpa dermaga diperkenalkan dan hanya memerlukan penyesuai USB-C ke HDMI.

Sistem operasi Android 8.0 Oreo digunakan dengan pelancar Samsung Experience. Ia kemudian dikemaskni ke Android 9 Pie dengan pelancar One UI. Galaxy Note 9 dilancarkan di Malaysia pada 15 Ogos 2018 dengan harga jualan RM3699 untuk model 6GB/128GB RAM dan RM4599 untuk model 8GB/512GB.

  • FUNGSI BAHARU :

    • Skrin 6.4″ paling besar digunakan setakat ini.
    • Kamera utama dengan bukaan boleh laras f/1.5+f/2.4
    • Memori sehingga 8GB RAM ditawarkan.
    • Bateri 4000 mAh.
    • Sokongan DeX tanpa dermaga.
    • S-Pen dengan sokongan bluetooth


Kesimpulan

Dalam masa hampir sedekad kita dapat melihat bagaimana peranti Note mendominasi pasaran peranti berskrin besar dengan stylus terbina. Anda dapat melihat bagaimana memori kini telah meningkat lapan kali ganda dan storan pula enam belas kali ganda berbanding Note generasi pertama. Dua model Samsung Galaxy Note 10 akan dilancarkan serentak pada 7 Ogos kelak.

Dari imej yang telah tertiris, sekali lagi perubahan fizikal yang besar akan dilakukan oleh Samsung. Adalah peranti Galaxy Note akan terus relevan di pasaran kerana ia bukan lagi satu-satunya peranti dengan saiz skrin yang besar. Kami tidak sabar untuk melihat model terkini Note dan mengulasnya sejurus selepas ia memasuki pasaran tempatan.

Komen