MacBook Pro 16-inci Dijangka Akan Hadir Pada Oktober – Mungkin Dijual Bermula RM12,350

MacBook Pro 16-inci Dijangka Akan Hadir Pada Oktober – Mungkin Dijual Bermula RM12,350

Diterbitkan pada July 25, 2019 oleh .

Apple pada sebelum ini pernah hadir dengan MacBook Pro 17-inci, yang mana hanya ditawarkan sehingga model 2011 sahaja. Pada tahun ini, model MacBook Pro bersaiz besar ini dijangka akan kembali, melalui perkenalan MacBook Pro 16-inci.

Perkara ini dilaporkan oleh Economic Daily News yang mana mengatakan MacBook Pro ini akan hadir pada Oktober tahun ini. Ia bakal membawa Retina beresolusi 3072 x 1920 – berbanding 2880 x 1800 pada model MacBook Pro 15-inci. Dengan penyertaan resolusi yang lebih tinggi, pengguna dapat menikmati paparan yang lebih tajam dan terperinci, yang mana penting dalam membuat tugasan-tugasan kreatif.

Melalui laporan tersebut juga, ia bakal dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding model asas MacBook Pro sedia ada. Ia dijangka akan dijual bermula $3,000 (~RM12,350) – berbanding model permulaan MacBook 15-inci yang kini dijual pada harga RM10,499.

Model MacBook Pro ini juga dijangka akan ditempatkan di antara produk iMac dan iMac Pro – suatu kedudukan yang memfokuskan kepada kegunaan berkuasa dan profesional. Dengan perletakkan MacBook Pro pada kedudukan ini, pengguna dapat menikmati sebuah peranti berkuasa, namun masih boleh dibawa ke mana-mana.

Beberapa maklumat lain seperti spesifikasi dan jenis papan kekuncinya masih tidak dinyatakan buat masa ini. Namun ia berkemungkinan akan menggunakan suis papan kekunci baru, bagi menggantikan papan kekunci kupu-kupu sebelum ini.


TIPS & ULASAN