Cari @ Amanz

Jenama Armaggeddon yang dikenali sebagai jenama aksesori gaming tidak lama lagi akan dikenali sebagai sebuah jenama pembuat komputer seperti ASUS, Dell, GIGABYTE, MSI kerana mereka akan tiba dengan siri komputer pra-bina dan komputer riba gaming mereka sendiri.

Sewaktu acara pelancaran produk mereka hari ini, Armaggeddon juga turut mengumumkan mereka akan mula hadir dengan siri komputer desktop dan komputer riba tidak lama lagi.

 

Untuk siri komputer desktop, tidak lama lagi mereka akan hadir dengan komputer pra-bina yang akan dijual melalui kedai atas-talian mereka di Shopee. Akan tetapi, apabila laman web Armaggeddon sendiri sudah siap, pengguna boleh memilih komponen-komponen yang mereka inginkan didalam komputer impian mereka.

Menurut seorang jurucakap Armaggeddon, mereka akan bekerjasama dengan MSI untuk beberapa komponen utama seperti papan induk dan juga kad grafik. Dari segi CPU, pengguna akan diberi pilihan untuk menggunakan CPU AMD ataupun Intel, manakala komponen seperti rangka desktop dan bekalan kuasa akan menggunakan komponen jenama Armaggeddon sendiri.

Konsep menjual komputer pra-bina ini bukanlah sesuatu yang baru untuk Armaggeddon, kerana mereka sudahpun mula melakukan konsep ini di Singapura dengan sambutan yang agak menggalakkan kerana ia mudah, dan Armaggeddon hadir dengan tanda harga mampu milik.

Dari segi pilihan laptop pula, tidak banyak butiran yang diberi mengenai peranti tersebut, tetapi Armaggeddon menjanjikan bahawa ia akan memasuki pasaran tempatan pada penghujung tahun 2019 kelak.

Dari segi spesifikasi dalaman, mereka akan memfokuskan kepada komputer riba dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti penggunaan CPU Intel generasi kelapan dan kad grafik siri NVIDIA GeForce GTX 1650, GTX 1660 dan NVIDIA GeForce RTX 2060.

Pihak Armaggeddon juga tidak mengesahkan bilakah tarikh khusus komputer desktop jenama mereka akan tiba di pasaran, tetapi ia akan diperlihatkan terus ke kedai atas-talian mereka di Shopee apabila komputer-komputer tersebut tiba disini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd