Carian
Siri Komputer Produktiviti Lenovo IdeaPad Diberi Nafas Baru – Hadir Langganan Microsoft Office 2019 Seumur Hidup
July 25, 2019 Nazrin

Lenovo ialah sebuah jenama yang terkenal untuk peranti-peranti produktiviti dan riadah mereka yang hadir melalui siri ThinkPad, IdeaPad dan juga Legion.

Hari ini, pihak Lenovo Malaysia telah memperkenalkan kemaskini kepada peranti siri Lenovo IdeaPad mereka yang bukan sahaja hadir dengan spesifikasi yang berkuasa dan ciri-ciri yang menarik, tetapi juga tanda harga mampu-milik dan perisian tambahan yang pastinya akan menjadikan pengalaman bekerja anda lebih lancer.

Bermula dengan Lenovo IdeaPad C340, komputer riba boleh-lipat 360 darjah ini bersaiz 14 inci dan dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Core i5-8265U, memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan 256GB. Dari segi grafik, ia dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX230.

Sebagai sebuah komputer riba yang boleh diubah menjadi sebuah tablet, ia juga hadir dengan sebuah stylus digital yang boleh digunakan untuk menjalankan tugas-tugas kreatif tanpa isu sela-input.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan digital, ia juga hadir dengan penutup kamera webcam fizikal yang boleh ditutup secara manual, dan ini mengurangkan kerisauan dan risiko anda diintip secara tidak diingini.

Dengan jangkahayat pengecasan penuh selama lapan jam, IdeaPad C340 ini hadir dengan ciri pengecasan yang dinamakan RapidCharge yang boleh mengecas komputer riba ini sehingga 80 peratus dalam masa sejam sahaja.

Lenovo IdeaPad S340 dan IdeaPad S540 pula ialah komputer riba produktiviti 14 inci (S540) dan 15 inci (S430) yang mempunyai rekaan bezel nipis yang memaksimakan kawasan kerja digital pengguna.

Dari segi spesifikasi dalaman, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan pilihan CPU sehingga Intel Core i7 generasi kelapan, memori DDR4 sehingga 12GB dan storan SSD NVMe sehingga 512GB. Dari segi grafik pula, kedua-dua peranti ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250.

Kedua-dua IdeaPad S340 dan IdeaPad S540 ini adalah mesin produktiviti yang berkuasa yang hadir dengan motif penggunaan yang sedikit berbeza. Dengan IdeaPad S340, anda mempunyai sebuah komputer riba yang padat dan berkuasa, manakala dengan IdeaPad S540, anda mempunyai sebuah mesin yang mampu digerakkan selama 12 jam dengan satu pengecasan penuh sahaja.

Bagi mereka yang perlukan sebuah mesin produktiviti yang mempunyai kebolehan grafik yang lebih berkuasa, Lenovo IdeaPad L340 mungkin untuk anda.

Komputer riba 15 inci ini dilengkapi dengan pilihan CPU sehingga Intel Core i7 generasi ke-8, memori DDR4 sebanyak 16GB dan pilihan storan SSD sebanyak 512GB ataupun cakera keras sebesar 2TB. dari segi pilihan kad grafik, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050.

Walaupun komputer riba ini dilengkapi dengan kad grafik GTX 1050 ini, Lenovo mengatakan IdeaPad L340 ini boleh bertahan selama 9.5 jam dengan satu pengecasan penuh, walaupun komputer riba tersebut digunakan untuk menonton video.

Lebih menarik lagi, dengan teknologi Rapid Charge, ia boleh dicas dari kosong hingga 100 peratus dalam masa dua jam sahaja.

Untuk kegunaan pejabat, ramai pekerja masih lebih gemar menggunakan komputer desktop dengan paparan yang besar untuk meningkatkan produktiviti mereka. Dengan Lenovo IdeaCentre A340, paparan 23.8 inci digandingkan dengan CPU Intel Core i5 generasi ke-8, memori DDR4 sehingga 16GB dan pilihan storan SSD sebanyak 512GB ataupun cakera keras sebesar 2TB.

Dengan setiap pembelian peranti-peranti Lenovo IdeaPad dan IdeaCentre ini, pengguna juga akan menerima lesen perisian Microsoft Office 2019 seumur hidup.

Kesemua peranti-peranti ini sudahpun hadir di pasaran tempatan, dan boleh dibeli di kedai-kedai pengedar sah Lenovo, ataupun kedai atas-talian mereka:

  • Lenovo IdeaPad C340 – Bermula dari RM2799
  • Lenovo IdeaPad S340 – Bermula dari RM2599
  • Lenovo IdeaPad S540 – Bermula dari RM3499
  • Lenovo IdeaPad L340 – Bermula dari RM1799
  • Lenovo IdeaCentre A340 – Bermula dari RM2199
Komen