Cari @ Amanz

Dibawah pelan National Fiberization and Connectivity Plan (NFCP), semua syarikat-syarikat teknologi tempatan sedang berusaha kearah menyiap-sediakan negara ini untuk menerima sokongan untuk sambungan internet 5G.

Hari ini, Celcom telah mengumumkan dimana mereka akan mula menguji rangkaian 5G mereka di sekitar kawasan Petaling Jaya, yang termasuk kawasan-kawasan seperti Menara Celcom, Seksyen 14, Crystal Crown Hotel, Menara MBPJ dan stesen LRT Taman Jaya.

Apa yang menarik mengenai ujian ini ialah Celcom akan menggunakan menara telekomunikasi mereka yang sedia ada, dan juga teknologi 5G NSA (Non-Standalone Architecture) dimana kedua-dua rangkaian 4G dan 5G akan wujud bersama untuk memastikan kesinambungan rangkaian.

Dalam pada itu, Celcom juga akan menguji rangkaian mereka dengan menggunakan teknologi mmWave dan juga C-Band untuk melihat apakah teknologi terbaik yang boleh digunakan untuk meliputi kawasan yang lebih besar dengan sambungan rangkaian yang paling cekap.

Ujian rangkaian 5G ini juga terdiri daripada beberapa ujian dalaman dan awam. Sewaktu acara pelancaran, Celcom memperlihatkan kelajuan yang mampu dicapai dengan sambungan 5G, dan kelajuan internet sepantas 6Gb/s dapat dilihat sewaktu acara tersebut.

Idham Nawawi, CEO Celcom turut berkata bahawa sepanjang ujian enam bulan ini, Celcom turut akan memberi peluang kepada pemilik rumah dan perniagaan didalam kawasan rangkaian untuk memberi mereka sedikit rasa bagaimana rangkaian 5G boleh meningkatkan taraf hidup dan juga perniagaan mereka.

 

Celcom juga akan bekerjasama dengan pihak MBPJ untuk melihat bagaimana rangkaian 5G ini boleh meningkatkan produktiviti majlis bandaraya tersebut.

Rangkaian 5G secara menyeluruh mungkin hanya akan hadir dalam dua ataupun tiga tahun lagi, tetapi ia cukup menarik untuk melihat syarikat-syarikat telekomunikasi ini mula menguji kemampuan mereka untuk membawa rangkaian internet serba laju tersebut untuk kegunaan rakyat Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd