Semasa Xiaomi mengumumkan Mi 9 dan Mi 9SE, Always-On Display (AOD) telah diperkenalkan untuk MIUI. AOD ini adalah AOD berwarna yang mana beberapa rekaan turut boleh bergerak (bagi mengelak masalah tuna skrin). Apa yang mengecewakan dengan AOD MIUI ini adalah, ia tidak boleh diubah dan pengguna hanya terhad dengan pilihan yang telah tersedia sahaja.
Kini di laman XDA, mereka melaporkan yang AOD untuk MIUI bakal hadir dengan kemampuan mengubahsuai rekaan yang tersedia. Berdasarkan imej tangkapan skrin yang diberikan, AOD MIUI kelak boleh mengubah jenis jam, warna jam, rekaan jam dan juga posisi AOD. Ini tidak dinafikan adalah mirip dengan OneUI pada peranti Samsung, yang mana telah lama memberikan kemampuan sebegini. Bukan itu sahaja, warna jam juga dilihat adalah lebih kurang sama – seperti warna cerun.
Bagi yang berminat, anda boleh cuba pasangkan fail APK MIUI Always-on Display versi 1.2.6.68. Ia boleh dimuat turun melalui pautan di bawah ini. Walau bagaimanapun, ia hanya terhad untuk peranti Xiaomi yang sudah menyokong AOD sahaja dan itu pun tidak semua. Saya cuba di Mi 9T dan ia tidak berjaya.