Dermaga Ini Mengubah iPad Pro Menjadi Sebuah Microsoft Surface Studio

Dermaga Ini Mengubah iPad Pro Menjadi Sebuah Microsoft Surface Studio

Diterbitkan pada July 27, 2019 oleh .

Apple melihat iPad Pro sebagai pengganti kepada komputer riba dalam masa terdekat. Dengan pengenalan iPadOS dan Project Catalyst kelak, iPad Pro akan dapat melakukan lebih banyak fungsi yang setanding dengan komputer riba. Tetapi bagi pemilik iPad Pro yang tidak mahu menanti, anda boleh membeli dermaga MagicDock yang mengubah tablet anda menjadi seakan sebuah Microsoft Surface Studio.

Dengan MagicDock, iPad Pro dipegang di dalam sebuah dermaga yang boleh dilaraskan untuk kelihatan seperti sebuah monitor atau dibaringkan untuk mengubahnya menjadi seakan sebuah skrin Wacom Cintiq. iPad Pro bersambung dengan MagicDock secara magnetik dengan sebuah sambungan USB-C. Ini bagi membolehkan dermaga yang mengandungi port HDMI, USB-A, USB-C dan bicu audio 3.5mm di bahagian tapak digunakan untuk sambungan pelbagai aksesori.

Orientasi skrin boleh diputar 90 darjah dan dua model MagicDock dihasilkan untuk iPad Pro 11 dan iPad Pro 12.9. MagicDock kini sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama KickStarter dan boleh dipesan pada harga bermula $99 (~RM410) sebuah.


TIPS & ULASAN