Carian
Ulasan: Xiaomi Mi A3 – Peranti Yang Bagus Dengan Kekurangan Yang Nyata
July 31, 2019 Fahim Zahar

Xiaomi Mi A3
Skrin 6.088” AMOLED, HD+, 19.5:9
Chipset Snapdragon 665
CPU 2 x Kryo 260 Gold 2.0 GHz
6 x Kryo 260 Silver 1.8 GHz
GPU Adreno 610
Memori 4GB RAM
Storan 64GB / 128GB + mikroSD
Kamera Utama 48MP f/1.8 + 8MP + 2MP
Kamera Hadapan 32MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 4000 mAh
Pengecasan 18W
Berat & Ketebalan 173.8g, 8.5mm

Xiaomi kini kembali dengan peranti Android One terbaru mereka menerusi perkenalan Xiaomi Mi A3. Ia merupakan Xiaomi Mi CC9e yang diolah, yang mana kini dilengkapi dengan program Android One berbanding janaan antaramuka MIUI. Berbeza dengan Mi CC9e yang hanya ditujukan untuk pasaran China, Xiaomi Mi A3 ini lebih difokuskan kepada pasaran antarabangsa – tanpa sebarang pengubahsuaian dari segi perkakasannya.

Disebabkan perkakasannya adalah serupa, Xiaomi Mi A3 menerima kritikan yang hebat atas disebabkan resolusinya sahaja. Ia membawakan resolusi 720p (HD+) seperti Mi CC9e, sekaligus membuatkan sesetengah pengguna tidak berpuas hati atas penawarannya. Harganya juga boleh dikatakan agak kompetitif, yang mana ia berada di antara model Redmi Note 7 dan Xiaomi Mi 9T.

Namun jika dinilai pada aspek yang lain, Xiaomi Mi A3 dilihat mempunyai penambah baikan yang besar berbanding Mi A2 – terutama dari segi aspek binaan, prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri. Ia juga mempunyai binaan serba baru, pretasi yang lebih efisien, keupayaan tri-kamera, dan kapasiti bateri yang lebih besar. Jadi dengan kesemua penawaran ini, bolehkah Xiaomi Mi A3 memberi nilai yang hebat untuk pengguna?

Rekabentuk

Xiaomi Mi A3 dilihat membawa rekaan yang lebih menawan dan premium berbanding model Xiaomi Mi A2 dan Xiaomi Mi A1. Ia hadir dengan binaan berasaskan kaca Corning Gorilla Glass 5, yang dapat memberi tampilan yang elegan seumpama peranti kelas atasan. Memegang peranti ini juga terasa sangat selesa di tangan kerana ia tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Cuma rekaan kaca ini mudah memerangkap kesan cap jari, yang mana dapat diatasi dengan kerangka TPU yang diberikan secara percuma.

Pada bahagian sisi, ia menampilkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, sementara slot dwi-sim hibrid ditempatkan pada bahagian kiri. Slot dwi-sim ini yang menariknya kini hadir dengan sokongan mikroSD, iaitu fungsi yang telah dibuang pada Xiaomi Mi A2. Pada bahagian atas, ia juga telah mengembalikan sambungan bicu audio 3.5mm, selain mengekalkan sambungan IR blaster. Pada bahagian bawahnya pula, ia menyertakan sambungan berasaskan USB-C, bersama-sama dengan pembesar suara berasaskan mono.

Bergerak ke bahagian hadapan, ia membawakan paparan AMOLED sebesar 6.088-inci, dengan penawaran resolusi HD+ pada nisbah 19.5:9. Ia dikecam hebat kerana resolusi ini sudah tidak menepati ciri-ciri peranti kelas pertengahan untuk tahun 2019. Namun disebabkan ia menggunakan paparan AMOLED, paparan ini kelihatan sangat terang – membuatkan saya kadang kala terlupa ia sebenarnya hadir dengan resolusi HD+ sahaja. Ia memberi warna yang menawan, warna hitam sebenar, namun terdapat sedikit penampakan piksel apabila dilihat dengan jarak yang dekat.

Dengan penggunaan skrin AMOLED, Xiaomi Mi A3 telah memanfaatkan panel paparan ini dengan menyajikan sistem pengimbas cap jari di bawah skrin. Prestasi pengimbas cap jari ini dapat membaca jari dengan baik, namun kadangkala kurang konsisten dari segi masa pembukaan peranti. Ada kalanya cepat, dan ada kalanya memerlukan beberapa saat untuk membuka peranti. Sebagai alternatif, Xiaomi masih menawarkan fungsi imbasan wajah melalui penggunaan kamera hadapan.

Dari segi variasi, Xiaomi Mi A3 hadir dalam dua variasi sahaja iaitu 4GB RAM / 64GB dan 4GB RAM / 128GB. Agak sedikit mengecewakan kerana ia tidak didatangkan dalam variasi memori 6GB RAM. Namun berita baik di sini, Xiaomi telah menggunakan storan UFS 2.1 bagi kedua-dua variasi Mi A3. Bermakna, anda dapat menikmati kelajuan storan yang pantas seumpama yang ditawarkan pada harga peranti berkuasa. Di Malaysia, Xiaomi Mi A3 telah didatangkan dengan pilihan warna seumpama penjenamaan Google Pixel iaitu “More than White”, “Not just Blue”, dan “Kind of Grey”.

Sistem

Xiaomi Mi A3 telah dijana dengan sistem operasi Android 9.0 Pie bersama sokongan program Android One. Program ini merupakan sebuah piawaian khas daripada Google bagi membolehkan peranti bukan hasilan daripada Google menerima pengalaman Android terbaik. Antara manfaat daripada Android One ini, ia membawakan tampilan antaramuka Android asli dan dijamin akan menerima kemaskini Android secara berterusan dalam tempoh 2 tahun.

Disebabkan ia hadir dengan Android asli, ia membawa tampilan yang kemas dan ringkas – seperti mana yang ditawarkan pada peranti Google Pixel. Ia turut menyajikan kawalan navigasi baru, yang membolehkan anda menuju ke aplikasi lain dengan menggerakkan butang di bahagian bawah ini. Cuma apa yang saya dapati, Xiaomi tidak memberi kebolehan untuk menukar kawalan navigasi ini ke butang navigasi Android standard (segitiga, bulat, petak), sekaligus membuatkan pengguna perlu membiasakan diri dengan navigasi Android Pie ini.

Xiaomi juga menyertakan beberapa aplikasi tambahan di dalamnya seperti aplikasi Mi Remote yang membolehkan peranti dijadikan sebagai alat kawalan jauh. Ia juga menyertakan aplikasi FM Radio, namun ia memerlukan anda menyambungkan ke aksesori audio berwayar untuk mendengarnya. Aplikasi kamera yang disertakan juga adalah berdasarkan MIUI Camera, dengan menyertakan antaramuka dan sejumlah kawalan standard seumpama peranti Xiaomi berasaskan MIUI.

Prestasi

Xiaomi Mi A3 merupakan peranti kedua selepas Mi CC9e yang dijana dengan cip Snapdragon 665. Cip 11nm ini membawakan rekaan lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 260 Gold 2.0 GHz (teras berkuasa) dan 4 x Kryo 260 Silver 1.8 GHz (teras efisien). Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia berada sedikit di belakang Snapdragon 660 dengan angka sekitar 140,983. Sebagai perbandingan dengan cip yang lain, cip Snapdragon 665 ini mempunyai kelajuan seumpama cip HiSilicon Kirin 710F pada Huawei Y9 Prime (2019).

Untuk kegunaan di dunia sebenar, peranti ini mampu membuka dan membuat pertukaran aplikasi dengan pantas melalui penggunaan storan UFS 2.1 dan memori 4GB RAM. Melalui penggunaan GPU Adreno 610, permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan pada tetapan “Smooth + Ultra”, dengan memberi bacaan kadar bingkai (frame rate) yang lancar dan konsisten. Pengeluaran habanya juga dilihat baik, membuatkan peranti tidak terasa panas walaupun digunakan untuk sesi permainan yang lama.

Kamera

Xiaomi Mi A3 telah didatangkan dengan sistem tri-kamera serba baru, menerusi sensor utama 48MP (f/1.8, PDAF), sensor ultra lebar 8MP (f/2.4), dan sensor depth 2MP (f/2.4) untuk penggambaran Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS), namun masih menyajikan penstabilan imej berasaskan elektronik (EIS) untuk kegunaan rakaman video. Ia juga dilengkapi dengan sokongan satu flash LED yang membolehkan ia menerangi penggambaran ketika di waktu gelap.

Dari segi kualitinya, ia membawa peningkatan yang lebih baik berbanding Mi A2, terutama dinilai dari segi penggambaran pencahayaan yang rendah. Keperincian imejnya kini kelihatan lebih tajam untuk kebanyakan situasi penggambaran, selain memberi hasilan hingar (noise) yang cukup minima. Ia juga memberi kawalan exposure yang lebih seimbang, disamping dapat menghasilkan perwarnaan yang lebih ke arah semula jadi.

Penggambaran ultra lebarnya juga dilihat baik dengan memberi warna seumpama penggunaan sensor utama. Cuma seperti sensor ultra lebar yang lain, keperincian imejnya dilihat berkurangan terutama digunakan pada situasi pencahayaan rendah. Namun apa yang menarik, ia masih menyajikan kebolehan 2x zoom pada antaramuka utama kamera, dengan memberi hasilan yang ditajamkan secara digital.

Kamera hadapannya juga telah dinaiktaraf kepada sensor 32MP f/2.0 berbanding 20MP f/2.2 pada Xiaomi Mi A2. Hasilan swafoto kini kelihatan lebih tajam, namun kulit tetap diterangkan walaupun fungsi pencatikan wajah telah dimatikan. Ia juga menyajikan kebolehan Portrait Mode, yang mana dapat memberik kesan kabur yang hampir sempurna apabila diteliti pada bahagian sisi subjek.

Dari segi fungsi, Xiaomi Mi A3 mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps, namun EIS hanya boleh diaktifkan untuk resolusi 1080p sahaja. Ia juga hadir dengan mod rakaman gerak perlahan, melalui sejumlah pilihan rakaman iaitu 1080p@120fps, 720p@240fps, dan 720p@120fps. Beberapa fungsi lain turut disokong pada peranti ini seperti kebolehan Pro (mod manual), Short Video, mod malam, dan Panorama sebagai fungsi tambahan ketika melakukan penggambaran.

Bateri

Xiaomi Mi A3 membawa peningkatan bateri yang besar berbanding Xiaomi Mi A2, melalui kapasiti 4030 mAh berbanding 3010 mAh. Dengan janaan cip 11nm dan kapasiti bateri sebesar ini, ia dijangka dapat memberi masa bertahan dan nyalaan skrin yang lebih lama – apatah lagi dengan penggunaan skrin 720p. Melalui percubaan di dunia sebenar, Xiaomi Mi A3 mampu memberi nyalaan skrin yang cemerlang, iaitu sekitar 7 jam 41 minit untuk penggunaan sepanjang hari.

Dari segi pengecasannya pula, peranti ini dilihat menyokong pengecasan pantas berasaskan 18W, namun Xiaomi hanya membekalkan pengecas 10W sahaja bersama-sama pembelian peranti ini. Melalui pengecas 10W yang disediakan, Xiaomi Mi A3 mampu dicas sekitar 2 jam 3 minit dari kapasiti bateri 0-100%.

Rumusan

Xiaomi Mi A3 dilihat mempunyai potensi yang banyak sekiranya pengguna tidak memandang resolusi skrinnya sebagai kelemahan. Ia hadir dengan binaan yang elegan, menawarkan paparan AMOLED, dan dijana dengan cip kelas pertengahan yang lancar dan efisien. Ia juga hadir dengan sistem tri-kamera yang sangat baik, menyokong pengecasan pantas 18W, dan mempunyai kapasiti bateri yang sangat lama untuk penggunaan harian. Ia juga masih mengekalkan sokongan IR blaster, selain telah mengembalikan dua perkara penting pada peranti kelas pertengahan iaitu slot kad mikroSD dan bicu audio 3.5mm.

Cuma apa yang menjadi kritikan pengguna, resolusi skrinnya hanya menyokong 720p, iaitu resolusi yang dikira sangat rendah untuk harga jualan peranti melebihi RM800. Walaupun menawarkan sistem imbasan jari di bawah skrin yang canggih, prestasinya dilihat tidak begitu konsisten dalam membuka peranti. Ia juga dilihat hanya hadir dalam variasi memori 4GB RAM, selain hanya dibekalkan dengan pengecas 10W di dalam kotak pembelian pearnti.

Pro
  • Hadir dengan rekaan kaca yang menawan dan elegan.
  • Menampilkan paparan berasaskan AMOLED.
  • Cip Snapdragon 665 memberi prestasi yang pantas dan penggunaan tenaga yang efisien.
  • Storan dalaman peranti dijana dengan teknologi storan berasaskan UFS 2.1.
  • Menawarkan sistem pengimbas cap jari di bawah skrin.
  • Kamera utama dan hadapan dapat memberi kualiti penggambaran yang baik.
  • Mempunyai ketahanan bateri yang lama dengan bacaan SoT 7 jam 41 minit.
  • Menyokong pengecasan pantas 18W.
  • Mengembalikan semula sambungan audio 3.5mm.
  • Hadir dengan slot dwi-sim dengan sokongan kad mikroSD.
  • Mengekalkan sambungan IR blaster untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.
  • Dijana dengan Android 9.0 Pie melalui program Android One.
Kontra
  • Hanya menawarkan resolusi skrin HD+.
  • Hanya ditawarkan dalam variasi 4GB RAM.
  • Hanya dibekalkan dengan pengecas 10W di dalam kotak.
  • Prestasi pengimbas cap jari di dalam skrin terasa kurang pantas dan konsisten.

Namun dengan harga jualan di bawah RM1000, peranti ini mampu memberi penggunaan harian yang sangat baik – terutama dari segi prestasi, kamera, dan jangka hayat baterinya. Untuk resolusinya pula, ia tidaklah seburuk yang disangka, kerana anda akan terlupa dengan kekurangan ini melalui panel AMOLED yang sangat terang. Pendek kata, ia sangat disyorkan bagi pengguna yang ingin menikmati pengalaman Android One – di dalam sebuah peranti yang versatil, padat dengan fungsi menarik, dan ditawarkan pada harga yang mampu milik.

*Terima kasih Mobile2Go atas peminjaman peranti ini kepada kami.

Komen