Facebook sebelum ini telah pun hadir dengan penawaran perkakasan mereka tersendiri melalui Portal. Melaluinya, ia memudahkan pengguna membuat panggilan video dengan mudah, selain bertanyakan beberapa soalan melaluinya melalui pembantu kecerdasan Alexa.
Terbaru, mengikut laporan The Information, Facebook dikatakan sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan sebuah lagi peranti baru dalam beberapa bulan akan datang.
Peranti berkenaan akan dihubungkan ke kaca televisyen, sekaligus membolehkan pengguna membuat panggilan video melaluinya. Peranti berkenaan dikenali dengan nama kod “Catalina” buat masa ini.
Menariknya, peranti ini juga akan memudahkan pengguna untuk membuat penstriman kandungan video terus ke kaca televisyen, dan dikawal melalui alat kawalan khusus.
Facebook dikatakan telah mula berbincang dengan beberapa pihak, termasuk Netflix, Disney, HBO, Amazon dan beberapa yang lain dalam menyertakan penawaran mereka pada peranti berkenaan.
Buat masa ini, Facebook tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan dengan perkara ini. Kita mungkin mendengar lanjut mengenainya dalam masa terdekat ini.