Di dalam dunia e-sukan, kepantasan adalah penting bagi membolehkan musuh ditumpaskan dengan lebih mudah. Bagi memberikan kelebihan kepada atlet e-sukan, tetikus Razer Viper telah dilancarkan pada pagi ini. Tidak seperti tetikus biasa, ia menggunakan suis optikal pada butang kawalan.
Menurut Razer suis optikal akan memberikan masa reaksi yang tiga kali lebih pantas berbanding suis mekanikal. Suis mengesan cahaya lampu infra merah yang dipotong sebaik sahaja butang ditekan dan tidak memerlukan sentuhan fizikal seperti suis mekanikal biasa. Ini adalah teknologi laser yang sama seperti yang digunakan pada papan kekunci Razer Huntsman.
Setiap Viper mempunyai tahap kepekaan sensor sehingga 16,000 DPI, mengesan pergerakan sehingga 450 inci setiap inci dan pecutan sehingga 50G.
Rekaan tubuh membolehkan ia digunakan oleh individu kidal atau bertangan kanan. Terdapat lapan butang yang boleh diprogramkan untuk makro di dalam permainan video dan juga tetapan disimpan di dalam tetikus bagi membolehkan profil dipilih ketika bertarung di acara e-sukan. Ia dijual pada harga $79.99 (~RM 332) sebuah bermula hari ini.