Carian
Ujian Darah Baharu Berjaya Mengesan Kanser Payudara Lebih Awal Sebelum Simptom Dilihat Pada Pesakit
August 2, 2019 Effi Saharudin

Di Malaysia dianggarkan setiap satu dari dua puluh orang wanita akan menghidap penyakit kanser payudara. Statistik yang merisaukan ialah sekiranya kanser payudara kembali selepas pesakit menjalani rawatan, kebarangkalian mereka untuk meninggal dunia adalah tinggi kerana kanser akan merebak ke organ lain tubuh.

Saintis dari Institue of Cancer Research dan Royal Marsden NHD Foundation Trust dari UK telah mengumumkan kejayaan membangunkan ujian darah baharu yang mengesan kanser lebih awal pada tubuh sebelum ia menunjukkan sebarang simptom. DNA dari tumor kanser yang dibuang akan diambil. Selepas itu ujian akan mengesan DNA yang sama di dalam darah pesakit sebaik sahaja ia kembali menyerang.

Secara purata kanser dapat dikesan 10.7 bulan lebih awal sebelum simptom dikesan. Ujian ini hanya boleh diambil oleh pesakit yang pernah menghidap kanser payudara sebelum ini dan mengesan kesemua jenis kanser payudara.

Dengan ujian darah ini, rawatan lebih awal sebelum kanser kembali dan merebak dapat dilakukan sekaligus meningkatkan kebarangkalian pesakit dapat kembali pulih untuk kali kedua. Buat masa ini lebih banyak ujian klinikal perlu dilakukan sebelum ia boleh diberikan kepada umum. Kajian ini telah diterbitkan di dalam jurnal JAMA Oncology.

Komen