Pengkalan Data StockX Digodam – Maklumat Peribadi 300 Ribu Pengguna Tertiris

Pengkalan Data StockX Digodam – Maklumat Peribadi 300 Ribu Pengguna Tertiris

Diterbitkan pada Ogos 5, 2019 oleh .

StockX boleh dikatakan laman web jual-beli kasut yang paling popular hari ini. Ia digunakan bukan sahaja untuk menjual beli kasut, tetapi juga untuk pengguna melihat nilai sepasang kasut di pasaran jualan terguna (second-hand market) di atas talian.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa pengkalan data pengguna StockX telah digodam. Laman web tersebut pada mulanya menghantar emel kepada pengguna-pengguna mereka dengan permintaan untuk menukar kata laluan kerana kemaskini baru pada laman web tersebut.

Beberapa hari kemudian, ia telah disahkan permintaan menukar kata laluan tersebut sebenarnya dihantar kerana pengkalan data seramai 300 ribu pengguna StockX telah digodam, dan kini sedang dijual untuk harga $300 (~RM1200) di arena Dark Web.

Menurut laporan Tech Crunch, maklumat pengguna yang tertiris termasuklah nama pengguna, nama sebenar, kata laluan yang disulitkan, alamat emel, saiz kasut dan juga matawang yang digunakan untuk tujuan jual-beli kasut.

StockX dikatakan sedar akan godaman tersebut, dan selepas menutup kerentanan pengkalan data, telah menghantar emel menukar kata laluan tersebut tanpa memberitahu pengguna perkara sebenar yang telah berlaku.


TIPS & ULASAN