Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Watch Active2 Diperkenalkan – Jam Tangan Untuk Gaya Hidup Pintar Dan Cergas

Oleh Aman

Link Copied!

Samsung hari ini telah memperkenalkan jam tangan pintar terbaru mereka, iaitu Galaxy Watch Active2. Ia hadir dengan rekaan muka jam bulat, dan dilihat lebih memfokuskan kepada rekaan elegan, menawarkan gaya berbeza, selain pada masa yang sama menawarkan ciri-ciri memfokuskan kecergasan dan gaya hidup pintar.

Galaxy Watch Active2 hadir dalam dua pilihan saiz, iaitu 44mm dan juga 40mm. Ia menggunakan muka jam bulat berasaskan skrin Super AMOLED, selain pada masa yang sama membawakan kembali penggunaan rekaan bingkai yang boleh diputar untuk memudahkan membuat kawalan pada skrin peranti berkenaan.

Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan cip Exynos 9110, memori 768MB, storan 4GB, serta dijana sistem operasi berasaskan Tizen. Jam ini boleh digunakan bersama peranti Android atau iPhone.

Samsung turut memfokuskan kepada ciri-ciri kecergasan pada peranti ini, dimana ia boleh memantau sekitar 39 aktiviti – termasuk berlari, berjalan, berenang, dan sebagainya. Sebahagian pemantauan aktiviti diaktifkan secara automatik, membolehkan anda meneruskan aktiviti kecergasan tanpa perlu membuat sebarang tetapan.

Samsung Galaxy Watch Active2

Selain itu, Galaxy Watch Active2 juga membantu pengguna memantau tahap tekanan melalui penggunaan Samsung Health, selain turut menyertakan beberapa program memfokuskan meditasi.

Ciri lain yang hadir adalah termasuk sokongan aplikasi seperti Spotify, kebolehan mengawal kamera pada peranti Galaxy melalui Watch Camera Controller, selain menggunakan sokongan Wireless PowerShare pada peranti Galaxy untuk mengecas jam tangan pintar ini.


Komen ()