Telekom Malaysia hari ini mengumumkan penawaran Unifi Air, yang mana menawarkan akses internet jalur-lebar berkelajuan tinggi nirwayar dengan kelajuan sekitar 20Mbps. Menariknya, Unifi Air hadir dengan penawaran kuota tanpa had, dan ditawarkan pada harga langganan RM79 sebulan.
Pakej Unifi Air ini dilihat ditujukan kepada pelanggan dikawasan yang diluar kawasan liputan Unifi, atau untuk pengguna Streamyx sedia ada yang inginkan akses internet lebih pantas dan stabil.
Unifi Air hadir dengan penawaran yang membolehkan pengguna langgan dan memasangnya sendiri dirumah dengan mudah. Ia hadir dengan sebuah modem mudah-alih khusus, dan menawarkan akses kepada multi-peranti. Penawaran pakej ini juga dilihat terhad kepada pengguna dikawasan Streamyx terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pelanggan lain – termasuk Unifi Home Wireless.
Telekom Malaysia dijangka akan berkongsi lanjut berkenaan Unifi Air ini dalam masa terdekat ini. Bersama-sama pengumuman Unifi Air, pihak TM turut mengumumkan pengenalan Unifi Lite untuk pengguna Streamyx sedia ada.