Cari @ Amanz

Pelan-pelan telekomunikasi di Malaysia biasanya hadir dengan tambahan-tambahan yang memfokuskan kepada gaya hidup pengguna yang sentiasa memerlukan data untuk aplikasi-aplikasi seperti YouTube, Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Hari ini, U Mobile memperkenalkan sebuah pelan baru yang memfokuskan kepada produktiviti pekerjaan yang dinamakan U Mobile GoOffice. Pelan GoOffice ini hadir dengan tiga talian yang termasuk satu talian utama dan dua talian tambahan. Dengan satu pelan ini, pengguna boleh menambah empat lagi talian tambahan untuk RM45 bagi setiap talian tambahan.

Untuk talian utama, pengguna akan menerima data dan jumlah panggilan tanpa had, 20GB data tambatan dan 4GB data rayauan setiap bulan di 12 buah negara. Untuk talian tambahan, setiap talian akan menerima 6GB data, panggilan tanpa had dan 500MB data rayauan setiap bulan dan juga penggunaan Waze tanpa had.

Paling menarik ialah pelan GoOffice ini juga hadir dengan langganan perisian produktiviti Microsoft Office 365 setiap bulan. Dengan langganan ini, pengguna boleh menggunakannya pada 15 peranti, dan menerima 1TB storan OneDrive.

Pelan U Mobile Go Office ini boleh didapati bermula hari ini di kedai-kedai U Mobile berhampiran anda untuk harga RM238 untuk satu talian utama dan dua talian tambahan seperti yang dikatakan tadi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan ini, layari laman web U Mobile GoOffice.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd