Samsung Galaxy Note 10 Dan Note 10+ Dilancarkan – Dijana Exynos 9825, S Pen Mengesan Gestur Dan Empat Kamera Utama

Samsung Galaxy Note 10 Dan Note 10+ Dilancarkan – Dijana Exynos 9825, S Pen Mengesan Gestur Dan Empat Kamera Utama

Diterbitkan pada Ogos 8, 2019 oleh .

Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini. Ia adalah kali pertama dua model Note dengan saiz skrin berbeza dilancarkan secara serentak. Seperti beberapa maklumat yang telah tertiris sebelum ini, peranti menjalani perubahan rekaan yang drastik dengan saiz bezel semakin mengecil, lubang kamera di tengah skrin, penggunaan sistem tri-kamera menegak dan tiada lagi sokongan bicu audio 3.5mm.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan Samsung Galaxy Note 10+ yang dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED QHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4300 mAh. Bagi yang memerlukan storan tambahan, ia masih mengekalkan sokongan kad mikro SD sehingga 1TB.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12+ 3D TOF Megapixel. Kamera utama 12-Megapixel dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Sensor terakhir TOF membolehkan imbasan dunia secara 3D seperti yang ditemui pada Galaxy S10 5G. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel.

Bateri peranti sebesar 4300 mAh menyokong pengecasan berwayar  sehingga 45W dan nirwayar 20W. Masih terdapat fungsi menyokong pengecasan peranti lain PowerShare sekiranya diperlukan. Samsung hanya menyertakan pengecas 25W dengan setiap pembelian.

Samsung Galaxy Note 10 pula dilengkapi skrin 6.3″ Dynamic AMOLED FHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB UFS 3.0 dan bateri sebesar 3500 mAh. Sedikit mengejutkan peranti ini tidak mempunyai slot untuk kad mikro SD.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12 Megapixel. Kamera utama dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Bateri peranti sebesar 3600 mAh menyokong pengecasan berwayar 25W tetapi tidak menyokong pengecasan 45W seperti Note 10+.

Tahun ini penambahbaikan paling besar dilakukan pada skrin yang mempunyai dagu dan dahi yang amat nipis berbanding Note 9. Pengimbas cap jari dalam skrin ultrasonik turut disertakan pada kedua-dua model. Hasilnya ialah peranti yang mempunyai 94% skrin pada bahagian hadapan.

S Pen dipertingkatkan dengan sokongan accelerometer yang membolehkan ia mengesan gesture yang dipanggil Air Command. Penggunaan kamera utama ke swafoto, mengubah mod kamera dan melakukan zom kesemua boleh dilakukan dengan menggerakkan S Pen di udara seperti tongkat ahli sihir.

DeX kali ini boleh digunakan pada sebuah komputer Windows 10. Apabila Note 10 disambungkan pada sebuah PC, kesemua storan di dalam peranti boleh dipindahkan ke dalam komputer secara drag and drop. Fail dari PC ke Note 10 juga boleh dipindahkan menggunakan kaedah yang sama.

Di Malaysia Samsung Galaxy Note 10 akan dijual pada harga RM3699. Samsung Galaxy Note 10+ pula akan dijual pada harga RM4199 untuk model 256GB dan RM4799 untuk model 512GB.


TIPS & ULASAN