Cari @ Amanz

Siri kad grafik AMD Radeon RX 5700 yang menggunakan penyejuk parti ketiga akan tiba di pasaran global tidak lama lagi, dan pelbagai syarikat pembina komponen komputer sudahpun memperlihatkan variasi-variasi kad grafik mereka.

MSI mengambil langkah yang agak unik didalam memperlihatkan kad grafik terbaru mereka yang dinamakan MSI Radeon RX 5700 XT EVOKE. Rekaan kad grafik ini boleh dikatakan agak berbeza daripada kad-kad grafik MSI yang lain sebelum ini.

Pertama, rangka kad grafik ini hadir dengan warna emas, dan bukan hitam dan merah yang biasa dilihat melalui siri kad grafik MSI Gaming.

Menyejukkan kad grafik ini ialah paip-paip pengalir haba 6mm dan bongkah penyejuk aluminum yang mengalirkan haba daripada komponen-komponen kad grafik ini. Haba yang terkumpul tersebut kemudiannya akan dialirkan daripada bongkah penyejuk melalui dua kipas penyejuk TorX 90mm ke udara.

Menurut beberapa laporan, kad grafik ini akan menggunakan papan induk sama yang digunakan dalam kad grafik RX 5700 asas, dan akan menggunakan gabungan pin kuasa PCIe 8-pin dan 6-pin yang sama.

Butiran khusus seperti kelajuan asas dan Boost Clock kad grafik ini belum diketahui lagi, tetapi MSI menjangkakan bahawa kad grafik ini akan tiba di pasaran terpilih bermula pertengahan bulan Ogos ini.

Apa yang menarik mengenai pengumuman ini ialah MSI telah menghantar gambar acah kad grafik ini tanpa memperlihatkan rekaan penuh kepada beberapa laman web teknologi terpilih.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd