Nubia Z20 Kini Rasmi – Peranti Mercu Dwi-Skrin Dan Tiada Kamera Swafoto

Nubia Z20 Kini Rasmi – Peranti Mercu Dwi-Skrin Dan Tiada Kamera Swafoto

Diterbitkan pada Ogos 8, 2019 oleh .

Setiap pengeluar yang menghasilkan peranti mercu, mempunyai fokus yang berbeza. Ada yang memfokuskan prestasi, ada yang hanya memfokuskan permua ada juga yang memfokuskan kamera. Tetapi kebanyakan peranti mercu sekarang sudah klise dan tiada inovasi sebenar yang menarik. Ini adalah berbeza dengan Nubia, mereka telah melancarkan peranti baharu mereka yang unik dan tiada pesaing cuba tiru.

Peranti ini adalah Nubia Z20. Ia adalah peranti mercu dengan dwi-skrin dan tiada kamera swafoto. Nubia Z20 boleh dikatakan adalah peranti dwi0skrin generasi baru selepas Nubia X. Di hadapan Nubia Z20 mempunyai skrin AMOLED FHD+ 6.42-inci, manakala skrin belakang pula adalah AMOLED 5.1-inci 1520 x 720p. Tiada kamera swafoto di hadapan dan ia menggunakan rekaan yang seksi, nirbingkai dan cantik.

Disebabkan tiada kamera swafoto, pengguna boleh mengambil gambar swafoto menggunakan kamera belakang dan melihat pada skrin kedua. Kamera belakang adalah tri-lensa yang menggabungkan lensa 48MP OIS + 16MP ultra-lebar + 8MP telefoto 3x zum. Peranti ini juga mampu mengambil gambar adi-makro 2.5cm dan merakam video 8K. Peranti ini dijana dengan Snapdragon 855 Plus dan dipadankan dengan memori 6+128GB / 8+128GB / 8+256GB. Untuk bateri pula ia memampatkan 4000mAH dengan sokongan pengecasan pantas 27W.

Kelebihan skrin belakang ini adalah untuk paparan notifikasi, yang mana ia berfungsi seakan Always-On Display berwarna. Bertambah menarik lagi, ia mampu diubahsuai mengikut citarasa pengguna sendiri. Untuk sekuriti, Nubia meletakkan pengimbas cap jari di setiap skrin – jadi ia lebih memudahkan pengguna.

Peranti ini akan mula dijual di China pada 16 Ogos 2019. Ia hadir dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, jingga dan biru. Harga jualan adalah RMB3499 (~RM2079) untuk 6GB + 128GB, model 8GB + 128GB pula dijual pada harga RMB3699 (~RM2197), kemudian 8GB + 512GB dijual pada harga RMB4199 (~RM2494). Harga jualan ini boleh dikatakan agak murah jika dibandingkan dengan harga peranti mercu pesaing yang inovasinya tidak jelas.


TIPS & ULASAN