Carian
Facebook Bakal Memperkenalkan Tab Khusus Untuk Berita – Bakal Dilancarkan Tahun Ini
August 9, 2019 Aman

Facebook merupakan salah satu laman sosial popular yang digunakan berbilion pengguna setiap hari dalam mengikuti pelbagai perkembangan semasa disekeliling mereka. Sebelum ini, Facebook telah membawa sedikit perubahan pada platform mereka, dimana NewsFeed lebih memfokuskan kepada perkongsian daripada rakan-rakan dan juga ahli keluarga terdekat berbanding Pages dan sebagainya.

Hal ini sekaligus membawa kepada pertanyaan berkaitan bagaimanakah dengan kemudahan untuk pengguna mengikuti berita melalui platform berkenaan.

Bercakap mengenainya, kini Facebook mengesahkan mereka bakal hadir dengan sebuah tab khusus baru yang hanya memaparkan perkongsian berita sahaja. Melalui tab berkenaan, ia akan menghimpunkan berita semasa daripada pelbagai media-media utama, sekaligus memudahkan pengguna mengikuti berita semasa.

Facebook menyasarkan pengenalan ciri ini menjelang tahun ini, sekaligus memastikan pengguna dapat mengikuti berita sebenar dengan mudah – dan tidak menjadi mangsa berita palsu.

Apa pun, buat masa ini ia tidak diketahui lagi sama ada ciri ini akan mengkhususkan pengguna di Amerika Syarikat sahaja, atau ditawarkan pada peringkat global.

Komen