Cari @ Amanz

Tarikh 9 Ogos merupakan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia yang meraikan orang-orang pribumi di seluruh negara. Bagi meraikan tarikh ini, Google Malaysia menerusi program Google Earth Outreach for Good untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Orang Asal di Malaysia.

Program Google Earth Outreach bukanlah sesuatu yang baharu, dimana ia bermula sejak tahun 2005 apabila salah seorang pengguna Google Earth yang sangat minat dengan perkara berkaitan pemetaan, menyedari terdapat aktiviti pembalakan haram dan menggesa pihak Google untuk melakukan sesuatu. Sejak pada itu tercetusnya inisiatif ini yang juga telah membantu pelbagai pihak.

Orang Asal merupakan terma yang digunapakai yang merangkumi Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Anak Negeri dari Sabah, dan Orang Ulu atau Dayak dari Sarawak. Untuk ketiga-tiga kumpulan besar ini, terdapat lagi kumpulan etnik yang berbeza dan setiap satu antara mereka mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan juga cabaran yang berlainan.

Menerusi fungsi yang terdapat pada Google Earth Voyager, pengguna boleh melihat sendiri mengenai kawasan petempatan Orang Asal dalam gambaran 360-darjah, imej mukabumi, dan juga perkongsian video daripada suku kaum Temiar dan Semaq Beri. Ia merupakan kombinasi Google Street View, dan juga penceritaan interaktif yang disampaikan oleh komuniti Orang Asal Malaysia.

Turut serta dalam acara ini adalah Dr Colin Nicholas, iaitu penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) yang menerangkan pentingnya pemeliharaan alam sekitar kepada komuniti Orang Asal. Ini kerana Orang Asal banyak bergantung kepada sumber flora dan fauna dan tanpa sumber tersebut, komuniti mereka hilang tempat bergantung dan mungkin perlu bermigrasi ke kawasan lain. Namun migrasi bukanlah pilihan utama berikutan kewujudan tanah-tanah yang suci untuk mereka, atau tanah pusaka yang diancam kemajuan oleh pemaju yang ingin melakukan projek mega.

Dua orang Asal iaitu Pam bin Yeek dan Lili turut berkongsi pengalaman mereka sendiri dalam sebagai seorang yang berada dalam komuniti minoriti ini. Pam bin Yeek yang merupakan ahli suku kaum Temiar dari kampung CUnex menceritakan bagaimana menggunakan Google Maps, beliau telah mengetahui persempadanan tanah dan akan mempertahankan kawasan tersebut dari ancaman pembalakan haram.

Lili dari suku kaum Semaq Beri di Kampung Mengkapur mempunyai videonya tersendiri dalam Google Voyager yang berkongsi mengenai bahasa asal Semaq Beri dalam bentuk penceritaan, amalan kebudayaan dan lagu-lagu. Bahasa asal Semaq Beri ini juga merupakan antara bahasa yang tertua di Malaysia, dan tanpa penekanan khusus dalam menjaganya, bahasa ini diambang kepupusan.

Satu lagi perkongsian dari Jef Yangman dari Jaringan Orang Asal SeMalaysia adalah berkenaan inisiatif pemetaan orang asal tajaan Google. Google memberikan sedikit geran dan komuniti orang asal dapat memetakan sendiri tanah pusaka, tanah adat, tapak geo-sejarah dan sebagainya. Sehingga kini sekitar 50 buah kampung telah dipetakan.

Banyak lagi maklumat yang boleh diketahui berkenaan Orang Asal Malaysia menerusi Google Earth Voyager, dan juga maklumat-maklumat lain dari seluruh dunia. Dengan inisiatif Google Outreach For Good ini, pastinya sedikit sebanyak dapat memberikan impak kepada Orang Asal Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd